Tekno

Volkswagen Kombi 'Tua' Guna Motor Elektrik

gempak
Erywan
25/03/2020
03:55 MYT
Sponsor Banner
Volkswagen Kombi 'Tua' Guna Motor Elektrik
Apabila reka bentuk klasik digabungkan dengan teknologi moden, hasilnya jarang sekali mengecewakan. Contohnya adalah Volkswagen e-Bulli ini yang dihasilkan oleh Volkswagen Commercial Vehicles dengan kerjasama divisyen e-Classics.
Seperti yang anda boleh lihat, van ini mengekalkan imej klasiknya yang membuatkan ia begitu popular namun apa yang tersembunyi di sebaliknya adalah ‘nadi’ elektrik sepenuhnya. Ia dinamakan e-Bulli sempena nama gelaran bagi model Microbus di Jerman. Enjin ‘boxer’ empat silinder asal yang terletak di bahagian belakang dibuang dan digantikan dengan sebuah motor elektrik yang menjana 82hp dan 212Nm, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding kuasa yang dihasilkan sebelum ini.
Dengan transmisi satu kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang, e-Bulli dikatakan mampu memecut sehingga kelajuan 130km/j. Walaupun tidak seberapa, ia lebih jauh lebih baik jika dibandingkan dengan prestasi asal. Kuasa untuk motor elektrik itu dibekalkan oleh pek bateri berkapasiti 45kWh yang terletak di bawah lantai. Menurut Volkswagen, satu cas penuh boleh menghasilkan jarak pemanduan melebihi 200km.
Dari segi pengecasan, e-Bulli dilengkapi dengan sistem pengesan pantas DC yang mampu menyalurkan sehingga 80 peratus kuasa elektrik dalam tempoh 40 minit. Selain pacuan elektrik, casis van ini turut diberi penambahbaikan dalam bentuk sistem suspensi ‘multi-link’ pada bahagian hadapan dan belakang, serta penyerap hentak boleh laras. Turut disertakan adalah sistem stereng ‘rack and pinion’ dan brek cakera pada keempat-empat tayar.
Apa yang menarik, e-Bulli bukan sekadar kenderaan konsep yang dihasilkan secara suka-suka. Jika berminat, Volkswagen sedia untuk menukar (convert) van Microbus lama anda kepada e-Bulli dengan kos bernilai 64,900 Euro (RM311,675).
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024