Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan satu lagi varian Passat menerusi versi R-Line.

Model yang lebih sporty daripada Passat Elegance itu dipasang secara tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang, dengan mengambil inspirasi daripada model Volkswagen R.


Luaran

Passat R-Line hadir penampilan lebih mantap dengan padanan bampar hadapan baharu yang agresif, lengkap lencana R-Line pada grilnya.

Satu lagi kemasan tersendiri R-Line boleh dilihat dengan jelas pada bampar belakang, lencana R-Line dan kemasan krom pada bahagian sisi sedan ini. Ia juga dilengkapi rim aloi Verona baharu bersaiz 19 inci.

Signatur model Volkswagen diserlahkan menerusi sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan dan rekaan tiga sayap untuk lampu belakang.


Dalaman

Bahagian dalaman Passat R-Line lebih menonjol berbanding pesaingnya dengan kemasan dan material baharu. Ini termasuklah kemasan dekoratif Dark Diamond Flag baharu dan bumbung hitam agar kelihatan lebih premium.

Identiti R-Line dapat dilihat dengan jelas pada tempat duduk, stereng kemasan kulit multi-fungsi yang lengkap dengan paddle shift. Ia juga dicerikan dengan pedal sports serta plat pelindung hadapan dan belakang aluminium.

Passat R-Line dipasang dengan kerusi elektrik ErgoComfort yang dibalut kulit Nappa gayaan karbon untuk keselesaan optimum. Tempat duduk pemandu juga hadir dengan fungsi memori dan urutan.

Paling menarik, ruang kabin disempurnakan dengan fungsi lampu ambien yang membolehkan pemandu memilih daripada 30 warna. Ini bermakna, cukup sebulan untuk tukar warna setiap hari!


Ketersambungan

Digital Cockpit bersaiz 11.7 inci menawarkan tahap kejelasan terbaik menerusi paparan warna beresolusi tinggi seperti sebuah telefon pintar premium.

Skrin itu menawarkan enam pandangan skrin boleh ubah bersama pilihan 30 kombinasi, termasuklah navigasi 2D dan 3D.

Sistem infohibur juga boleh diakses menerusi skrin sentuh Discover Pro bersaiz 9.2 inci. Navigasi sistem terbabit boleh dilakukan dengan mudah menerusi arahan suara, kawalan gestur dan skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

App-Connect boleh digunakan dengan Android Auto, Mirrorlink pula menggunakan Type C USB, selain ketersambungan Apple Car Play tanpa wayar.


Enjin dan Prestasi

Di bawah hud, Passat R-Line menggunakan enjin turbo 2.0TSI baharu yang dipadankan dengan kotak gear direct shift (DSG) klac basah tujuh kelajuan baharu.

Ia menjana kuasa 190PS dan tork 320Nm dengan anggaran penggunaan bahan api 6.5l/100 km, berdasarkan kepada data pemanduan dalam dunia sebenar yang digariskan oleh pihak WLTP (Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Seluruh Dunia).

Ini bermakna, ia boleh dipandu dari Kuala Lumpur-Pulau Pinang-Kuala Lumpur dengan hanya satu tangki sahaja.

Pemandu juga boleh memilih satu daripada tiga mode pemanduan yang disediakan iaitu sport dengan peredam lebih keras, comfort atau normal. Dengan ciri Driving Mode Selection (DMS) pula, pemandu boleh memilih corak pemanduan yang disukai sama ada Eco, Comfort, Normal, Sport dan Individual yang boleh diubah suai.


Keselamatan

Passat R-Line baharu padat dengan ciri keselamatan premium ini termasuklah ciri Rear Cross Traffic Alert dengan julat pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter.

Ciri Side Assist pula membantu mengesan objek di kawasan titik buta sehingga 70 meter dengan jarak pengesanan 110 darjah apabila kenderaan ini bergerak.

Satu lagi ciri keselamatan penting ialah sistem Electronic Differential Lock (XDS) yang berfungsi menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer.

Ia juga dilengkapi ciri Tyre Pressure Monitoring System baharu yang memantau tekanan setiap tayar. Brek pergerakan pula akan menekan brek secara automatik untuk menghalang pelanggaran apabila ia mengesan objek pada kelajuan sehingga 10km/j.

Ciri keselamatan lain yang didatangkan sebagai standard ialah Electronic Stability Control (ESC), brek anti kunci (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.


Harga

Passat R-Line baharu ditawarkan pada harga cadangan RM208,888, bagaimanapun dengan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan, ia dijual pada harga RM203,411.18 sehingga 31 Disember 2020.

Ia juga hadir bersama penyelenggaraan percuma selama 3 tahun, jaminan selama 5 tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk 5 tahun.

Warna