Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Antarabangsa

Volkswagen Passenger Car Malaysia Panggil Semula 12,732 Kenderaan Buatan 2011-2015.

Erywan 27/07/2020 | 08:02 MYT

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memanggil semula secara sukarela terhadap model yang dihasilkan di antara tahun 2011 hingga 2015 untuk membaiki akumulator tekanan hidraulik di dalam kotak gear klac berkembar 7-kelajuan yang rosak di peringkat pengeluaran.

Sebanyak 12,732 kenderaan Volkswagen dikenal pasti perlu menjalani pemeriksaan di bawah kempen panggilan semula ini. Model yang terjejas ialah Beetle, Cross Touran, Golf (Mk6 dan Mk7), Jetta, Passat (B7), Passat CC, Polo (6R) dan Scirocco. Panggilan semula ini tidak melibatkan model-model yang dikeluarkan dari 2016 ke atas.
Dalam beberapa kes tertentu, kegagalan komponen itu boleh menyebabkan tekanan hilang, sekali gus mengganggu pengalihan kuasa di antara enjin dan kotak gear.
Kempen di seluruh negara ini akan dijalankan secara berperingkat-peringkat untuk menguruskan kes-kes terbabit. Notifikasi untuk para pemilik akan dilaksanakan menerusi mel berkuat-kuasa serta-merta.
Selain itu, para pemilik digalakkan untuk melayari laman web Volkswagen untuk memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat. Mereka juga boleh menghubungi khidmat pelanggan Volkswagen di talian 1800-18-8947 untuk maklumat lanjut.
Kemudian, pemilik boleh menghubungi mana-mana pusat servis Volkswagen untuk temu janji, kenderaan diperiksa dan alat ganti ditukar sekiranya perlu. VPCM mengambil langkah sewajarnya dengan rakan pengedar bagi memastikan kebolehdapatan alat ganti, seterusnya membolehkan proses ini dijalankan dengan lancar dan efektif. Semua kos buruh dan penggantian alat ganti tidak akan dikenakan ke atas pemilik.
Sebagai tambahan, pemilik akan menerima kad keahlian VCP secara percuma sebagai tanda penghargaan daripada Volkswagen. Satu bahagian penting di dalam Volkswagen Cares, Volkswagen Care Plus (VCP) ialah program eksklusif untuk pemilik yang mempunyai kereta berusia 5 tahun dan ke atas.
Kelebihan lain yang dapat dinikmati oleh ahli termasuklah tiga baucar diskaun servis sebanyak 20 peratus, Bantuan Tepi Jalan percuma selama dua tahun dan sokongan bateri di lokasi 24 jam (tertakluk kepada terma dan syarat).
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memohon maaf ke atas kesulitan yang terpaksa dilalui oleh pemilik dan sebagai pengeluar kenderaan yang bertanggungjawab, keyakinan serta ketenangan minda pelanggan adalah sangat penting buat pihaknya.
"Kami harap pelanggan faham bahawa kempen ini penting untuk memastikan mereka kekal yakin dengan prestasi kenderaan masing-masing. Walaupun kami sudah mengenal pasti jumlah kenderaan yang terbabit dalam panggilan semula ini, bukan semua alat gantinya perlu ditukar.
"Ini adalah satu langkah yang signifikan buat kami dan kami mahu memastikan semua kenderaan terlibat diperiksa. Kempen ini sebahagian daripada inisiatif Volkswagen Cares dan kami komited terhadap aspek keselamatan, perkhidmatan dan kepuasan pelanggan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, sila layari laman web www.volkswagen.com.my atau hubungi pusat khidmat pelanggan Volkswagen di talian 1800-18-8947.

#Volkswagen
;