Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Antarabangsa

Volkswagen Touareg R – Ini Betul-Betul Jahat!

Erywan 04/03/2020 | 05:03 MYT
Dunia automotif bakal menyaksikan kemunculan satu lagi kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi dari Eropah iaitu Volkswagen Touareg R.
Hadir sebagai model hibrid plug-in, Touareg R dipacu oleh enjin petrol turbo berkapasiti 3.0 liter V6 dengan 340PS dan transmisi Tiptronic lapan kelajuan yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda 4Motion.
Enjin tersebut dibantu oleh sebuah motor elektrik berkuasa 136PS yang mendapat bekalan tenaganya dari pek bateri lithium-ion 14.1kWh. Gandingan ini menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 462PS dan 700Nm.
Volkswagen tidak mendedahkan masa pecutan 0-100km/j, namun mendakwa jentera ini mampu memecut sehingga 250km/j dengan pengehad kelajuan elektronik. Dalam mod pemanduan elektrik, ia boleh dipandu sejauh 48km pada kelajuan sehingga kelajuan 140km/j.
Bercakap tentang mod, Touareg R hadir dengan E-Mode dan Hybrid, serta mod-mod pemanduan lain iaitu Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual, Offroad dan Snow. Pelanggan yang mendapatkan pakej off-road akan menikmati dua mod tambahan iaitu Gravel dan Sand.
Kelengkapan lain yang disertakan termasuk Trailer Assist dan Travel Assist yang dibangunkan sebagai ciri bantuan memandu yang berfungsi pada kelajuan sehingga 250km/j. Terima kasih kepada kuasa yang tinggi dan sistem 4Motion, jentera ini boleh menunda beban dengan berat sehingga 3.5 tan.
Seperti model ‘R’ keluaran Volkswagen yang lain, Touareg R mendapat reka bentuk bampar yang agresif dengan bilah pada lubang kemasukan udara, logo R, lampu belakang yang digelapkan serta rim aloi ‘Braga’ berukuran 20 inci.
Bahagian dalaman pula dihiasi dengan trim aluminium Silver Wave pada papan pemuka dan pintu, upholsteri kulit Vienna dan tidak dilupakan logo R pada tempat duduk dan stereng.
;