Antarabangsa

Volkswagen T-Roc Cabriolet - Crossover convertible pertama Volkswagen

gempak
Erywan
16/08/2019
01:30 MYT
Sponsor Banner
Volkswagen T-Roc Cabriolet - Crossover convertible pertama Volkswagen
Kira-kira dua tahun selepas memperkenalkan T-Roc, Volkswagen mengambil keputusan untuk mengembangkan barisan crossover kompaknya dengan versi ‘convertible’ yang dikenali sebagai T-Roc Cabriolet.
Berasaskan platform MQB yang turut digunakan oleh Golf, T-Roc Cabriolet menawarkan pengalaman pemanduan unik dengan posisi tempat duduk yang tinggi dan bumbung terbuka.
Ia bukanlah model convertible pertama yang dibangunkan oleh Volkswagen. Jika anda masih ingat, syarikat itu pernah menghasilkan Beetle Cabriolet dan Golf Cabriolet sebelum ini. Tetapi bagi segmen crossover, T-Roc Cabriolet adalah yang pertama seumpamanya bagi Volkswagen.
Model ini akan membuat kemunculan sulung di acara Frankfurt Motor Show 2019 pada bulan hadapan, sebelum memasuki pasaran Eropah bermula suku pertama tahun 2020.
Ia didatangkan dengan bumbung fabrik yang boleh dibuka dalam masa sembilan saat. Menariknya, bumbung ini boleh dibuka dan ditutup semasa kenderaan bergerak pada kelajuan sehingga 30km/j dan semua ini dilakukan secara automatik.
Bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin, T-Roc Cabriolet dilengkapi dengan sistem perlindungan ‘roll-over’ yang akan diaktifkan sebaik sahaja ia melepasi darjah kecondongan yang telah ditetapkan.
Bukan itu sahaja, bingkai cermin penghadang angin turut diperkukuhkan bagi tujuan ini. Sebahagian daripada struktur badan juga tidak ketinggalan ditambah baik untuk memberikan perlindungan maksimum sekiranya berlaku kemalangan.
Dari segi kelengkapan, Volkswagen menawarkan varian Style dan R-Line. Pakej Style merangkumi empat tema bahagian dalaman dengan pencahayaan ambien, manakala pakej R-Line menjadikan model ini lebih sporty dengan sistem stereng progresif, lampu kabus, suspensi lebih rendah, tempat duduk sport dan lencana ‘R-Line’.
Masuk ke bahagian dalam, T-Roc Cabriolet menampilkan kokpit digital yang merangkumi skrin sentuh infotainmen berukuran lapan inci dan paparan Active Info Display bersaiz 11.7 inci. Apa yang baharu di sini adalah sistem infotainmen MIB3 dengan eSIM yang membolehkan pelanggan menggunakan pelbagai perkhidmatan dalam talian.
T-Roc Cabriolet akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol iaitu 1.0 liter tiga silinder yang menjana 115PS dan 1.5-liter empat silinder dengan 150PS. Kedua-dua varian didatangkan standard dengan transmisi manual enam kelajuan tetapi pelanggan yang memilih varian 1.5 liter boleh memilih transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024