Sempena Ramadan ini, Volvo Car Malaysia berikrar memberikan sokongan berterusan untuk penjarakan sosial melalui kempen ikrar secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diumumkan baru-baru ini.

Melalui kempen Ikrar Ramadan Selamat (Ramadan Safe Pledge), Volvo Car Malaysia akan memberi ganjaran kepada rakyat Malaysia yang berikrar untuk mengekalkan penjarakan sosial dengan baucar GrabFood bernilai RM10.



Kempen ini akan berlangsung dari 4 hingga 23 Mei 2020, dari jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang setiap hari, dan bakal diadakan di tapak mikro – http://bit.ly/MYVolvoSafePledge, dengan ikrar yang dimuat naik oleh peserta di Instagram. Untuk tempoh 20 hari, Volvo Car Malaysia akan memberi 10,000 baucar bernilai RM100,000.

Setiap akaun Instagram hanya boleh menyertai sekali sahaja. Volvo Car Malaysia akan memilih 500 entri pertama setiap hari, dan sepanjang tempoh 20 hari kempen ini, akan memberikan sebanyak 10,000 baucar.

Pengarah Urusan di Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata, tidak dapat dinafikan bahawa semua terkesan oleh COVID-19 dan pelaksanaan PKP, bermakna masyarakat perlu mengamalkan norma baru dalam kehidupan seharian.

Menurutnya, walaupun ada perniagaan dibenarkan untuk beroperasi, majoriti daripada masyarakat masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.

“Jadi, kami mahu lakukan apa yang kami boleh untuk membantu meringankan beban rakyat Malaysia. Maka terlahirlah kempen Ikrar Ramadan Selamat yang menyediakan platform kepada rakyat Malaysia untuk menguatkan lagi komitmen ‘duduk di rumah’ mereka.

“Setiap ikrar yang terpilih akan diberi ganjaran baucar. Lebih daripada itu, ini adalah ikrar dalam diri setiap orang untuk memainkan peranan mereka dalam meratakan lengkungan, ketika petugas profesional penjagaan kesihatan terus berusaha melindungi dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

Sementara itu, bersempena dengan Hari Raya, Volvo Car Malaysia akan melancarkan tawaran istimewa bermula dari 1 Mei hingga 30 Jun 2020.

Volvo Car Malaysia menawarkan pakej perkhidmatan penyelenggaraan selama lima tahun (VSA5+) untuk pemilik baru dan semua model kereta. Di samping itu, Volvo Car Malaysia akan memberi pakej Recharge untuk model terpilih bernilai sehingga RM30,888 dan Hager Wallbox untuk varian PHEV terpilih bernilai sehingga RM8,000.

Sebagai tambahan, sebarang tempahan yang dibuat secara dalam talian akan menerima pakej Polestar Optimisation percuma bernilai RM5,200.