Antarabangsa
Volvo wagon jantung Lamborghini - Digelar Volvoghini
Sebuah Volvo 245 Wagon yang pernah menggunakan enjin Toyota Supra 2JZ-GTE nampaknya sedang menerima jantung baru daripada Itali.
Pemilik kereta Volvo 245 itu Peter Bjorck dilaporkan merasakan enjin 2JZ sudah tidak lagi 'membawa keterujaan'.
Ia tidak mengambil masa lama sebelum pemiliknya mencari ganti dan jantung itu adalah daripada sebuah model Lamborghini Gallardo iaitu jenis V10.
Berdasarkan perkongsian video di YouTube oleh Peter Bjorck, nampaknya enjin V10 itu sudah dipasang ke dalam Volvo berwarna merah gelap itu.
Bagaimanapun, modifikasi itu ada tiga masalah ketika proses penukaran enjin oleh pemiliknya.
Masalah pertama ialah ruang enjin itu agak sempit untuk menempatkan enjin 5.0 liter V10. Kedua, blok enjin itu ada kesan retak kerana ia diambil daripada sebuah unit supercar yang pernah terlibat dalam kemalangan.
Masalah terakhir ialah pemiliknya berdepan masalah untuk mencari kotak gear yang sesuai untuk dipadankan dengan enjin V10 itu.
Biarpun berdepan tiga masalah utama itu, pemilik kereta Volvo itu masih berfikiran positif mengenai projek itu.