Bagi mencapai cita-citanya bagi mengurangkan pelepasan karbon bagi setiap kereta sebanyak 40 peratus, Volvo Car Malaysia secara rasminya melancarkan Volvo XC40 Recharge T5 R-Design yang baharu di Malaysia.

Melalui inisiatif ini, Volvo Car Malaysia kini satu-satunya jenama automotif di Malaysia yang menawarkan kereta pemasangan tempatan (CKD) bagi semua barisan kereta hibrid plug-in (PHEV) mereka.

Dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo, buat pertama kalinya Volvo XC40 Recharge T5 dilengkapi dengan enjin tiga silinder turbocharged 1.5 liter dengan rangkaian kuasa Drive-E, dengan motor elektrik yang dipasang pada kotak gear automatik dual-clutch tujuh-kelajuan bagi menggerakkan roda hadapan. Pelepasan karbon dioksida hanya 50 gram per kilometer, di samping mengekalkan kemewahan dan prestasi Volvo.


Recharge T5 adalah hasil gabungan kuasa sebanyak 262 hp dan tork setinggi 425 Nm,. Kuasa itu datangnya dari motor elektrik dengan kuasa maksimum 82hp dan tork mencecah 160Nm. Dengan menggunakan enjin petrol, jentera itu boleh mencapai 100km/j hanya dalam masa 7.3 saat dan kelajuannya dihadkan pada 180km/j selepas pengumuman dibuat oleh syarikat pada Mac 2020 yang lalu.

XC40 Recharge T5 yang diperbuat di Sweden dan dipasang di Malaysia, dilengkapi dengan sistem teknologi keselamatan, kesalinghubungan dan infotainment yang memenangi anugerah sebelum ini.

Sistem-sistem itu sama dengan yang terdapat dalam model-model Volvo yang lain. Ia juga dihasilkan dengan kawalan dan kepakaran berkualiti tinggi yang sama daripada Volvo, dengan meneruskan komitmen mereka untuk mengutamakan keselamatan pelanggan.

Sebahagian teknologi dalam XC40 Recharge T5 termasuk ciri-ciri keselamatan dan bantuan kepada pemandu seperti sistem Pilot Assist, City Safety, Run-off Road protection and mitigation dan Cross Traffic alert dengan sokongan brek.


Ciri-ciri ini akan membantu meningkatkan keyakinan pemandu dan meningkatkan keselesaan untuk keseluruhan pemanduan yang lebih selamat. XC40 Recharge T5 menawarkan lima mod pemanduan berbeza untuk pengalaman pemanduan yang lebih dinamik: Hibrid (tersedia), Tulen, Off-road, Berkuasa dan Individu.

Mengetengahkan penampilan bergaya dan moden, XC40 yang baharu mengekalkan reka bentuknya yang berani dengan hiasan khas trim R-Design.


Ia juga dilengkapi dengan soket pengecas di bahagian hadapan kiri. Di samping mempunyai tempat penyimpanan di kabin yang direka untuk menyediakan ruang penyimpanan lebih praktikal di bahagian pintu pemandu, termasuk cangkuk boleh ditarik untuk menggantung barang.

XC40 Recharge ditawarkan dengan lima pilihan warna Blackstone, Crystal White Pearl, Bursting Blue Metallic, Glacier Silver Metallic dan Coral Red Metallic.


Ia dijual pada RM255,888, tetapi dengan pengecualian cukai jualan harganya adalah RM241,997 (atas jalan, tanpa insurans) dan boleh dilihat di semua pengedar Volvo yang sah di seluruh negara bermula hari ini.