Watch
Volvo XC60 dan V60 Polestar Engineered versi lebih sporty
Kini beroperasi sebagai jenama sendiri, Polestar sedang dalam usaha mengembangkan portfolio kereta elektriknya.
Tetapi seperti sebelum ini, syarikat itu masih meminjamkan kepakaran mereka kepada Volvo dan ini dapat dilihat menerusi XC60 dan V60 versi Polestar Engineered yang baru sahaja didedahkan.
Seperti S60 Polestar Engineered yang diperkenalkan pada pertengahan tahun lalu. Kedua-dua model ini terdiri daripada varian T8 Twin Engine yang sudah menerima naik taraf dalam bentuk perisian baharu.
Hasilnya, enjin plug-in hybrid tersebut kini menjana kuasa keseluruhan sebanyak 415hp dan 669Nm, mewakili peningkatan sebanyak 8hp dan 29Nm berbanding versi standard.
Selain itu, aspek casis turut diberi peningkatan menerusi penggunaan strut bar keluaran Ohlins yang dikatakan dapat meningkatkan kekukuhan badan kenderaan, sekali gus menghasilkan kawalan yang lebih tepat.
Dari segi penampilan pula, model-model Polestar Engineered ini tampil lebih sporty dengan rim 10-batang rekaan Polestar, muncung ekzos berwarna hitam, jeriji hitam berkilat dan sambungan gerbang roda.
Lencana ‘Polestar Engineered’ pada bahagian hadapan dan belakang pula bertindak sebagai amaran kepada pemandu-pemandu lain yang berniat untuk ‘bermain’ dengan model-model ini di jalan raya.
Perincian pada bahagian dalaman juga tidak begitu menonjol. Ia merangkumi tali pinggang keledar berwarna emas, skema warna arang dan kemasan mesh aluminium. Stereng dan tombol gear pula dibalut kulit Nappa supaya tampil lebih mewah.
Must-Watch Video