Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

VPCM anjur himpunan Volkswagen Beetle terbesar di Malaysia

Erywan
24/06/2019 08:32 MYT
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) bakal menganjurkan acara Beetle, An Iconic Gathering dengan mengumpulkan semua pemilik Beetle di tempat parkir terbuka di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 13 Julai ini.

Volkswagen akan cuba untuk memecahkan rekod sedia ada perhimpunan Beetle terbesar di Malaysia. Jadi, ia menjemput semua pemilik model klasik dan Beetle terkini untuk turut sama merealisasikan usaha tersebut.

Sambutan itu akan dimulakan dengan konvoi Beetle Sunshine Tour sebanyak 100 Beetle dan dilepaskan di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.


Konvoi itu akan melalui jalan-jalan di Segi Tiga Emas sebelum bergerak ke Putrajaya di mana ia akan menyertai Beetle yang lain di Istana Kehakiman.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, Volkswagen akan menamatkan pengeluaran produksi Beetle pada tahun ini.

“Kami mahu memberikan ucapan selamat jalan kepada model terlaris ini dengan meraikan warisannya. Justeru, kami ingin menjemput pemilik dan peminat Beetle untuk sama-sama berkumpul, sekali gus memecahkan rekod dan meraikan Bug kegemaran dunia ini.


“Ini adalah peluang terbaik untuk peminat Beetle melihat sendiri model Beetle klasik dan terkini dalam pelbagai bentuk penampilan,” katanya.

Acara Beetle: An Iconic Gathering dibuka kepada semua pemilik Beetle. Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang Volkswagen.

Penyertaan adalah percuma dan perincian acara akan diberikan ketika pendaftaran dalam talian dibuat. Semua peserta juga akan menerima sijil penyertaan daripada Volkswagen.


#Volkswagen #Beetle
;