Yamaha khabarnya sedang mengusahakan generasi baharu motosikal sport touring era 80-an FZ 750.

Menurut Young Machine, khabar angin menyatakan versi terkini mungkin berasaskan model MT-09 baharu yang menampilkan enjin 3-sebaris crossplane berkuasa 115hp dan tork 88Nm.


Jenama berkenaan mungkin mengikuti trend semasa membawa kembali model-model lama yang berjaya ke masa kini. Inilah yang berlaku bagi kes FZ 750.

Fenomena ini seperti yang berlaku pada jenama Suzuki apabila membawa kembali model Katana, Kawasaki memperkenalkan Z900 versi RS, dan BMW dengan R NineT Urban Scambler inspirasi model lama R80 G/S.


Jika berasaskan MT-09 mungkin berat model itu melebihi 171kg dengan penambahan fairing depan. Dari segi frem pula Yamaha mungkin boleh memilih casis diamond yang yang digunakan pada model naked bike sekarang.

Kerja badan jentera juga mungkin akan menerima kemas kini pada tangki minyak dan bahagian belakang.


Buat masa ini tiada berita terkini dari pihak Yamaha sama ada khabar angin itu bakal jadi realiti atau sebaliknya. Menilai kepada pasaran motosikal terkini dan kejayaan MT-09 Tracer, mungkin kita bakal menyaksikan kelahiran semula model FZ 750. Siapa tahu!.