Selepas memperkenalkan biru dan hitam pada tahun lalu, Hong Leong Yamaha Motor kini menawarkan warna baharu untuk YZF-R15 iaitu perak.

Tiada perubahan mekanikal, bermakna YZF-R15 ini akan dikuasakan enjin 155cc, satu silinder liquid-cooled dengan variable valve actuation (VVA) dan dipadankan dengan kotak gear 6-kelajuan. Secara keseluruhan, enjin ini mampu menghasilkan 19.3hp dan 15Nm tork.

Ia juga menggunakan fork upside-down pada bahagian hadapan dan penyerap hentak jenis preload-adjustable pada bahagian belakang. Sistem brek pula terdiri dari cakera brek hidraulik depan berdiameter 282mm dan cakera brek 220mm di bahagian belakang.


Jentera itu dipadankan tayar bersaiz 100/80-17 untuk tayar hadapan, manakala belakang dipadankan 140/70-17. Komponen standard yang disertakan ialah panel instrumen LCD monokrom, bingkai Deltabox, swingarm aluminium dan tangki bahan api 11 liter.

Seperti biasa, panel instrumen digital memaparkan rpm, kelajuan, odometer, penggunaan bahan api, penunjuk kedudukan gear, kapasiti bahan api dan lampu amaran biasa. Selain itu, lampu amaran penukaran gear disertakan dan pencahayaan LED.

Harga cadangan kekal pada RM11,988 dan setiap pembelian akan menerima Yamaha Disc Lock bernilai RM100. Motosikal ini juga akan disertakan dengan jaminan dua tahun atau 20,000km.