Skip to main content

Market Trends

Mungkin Anda Teruja Tunggu 11 November Ini?

online3.jpg
Ada apa dengan tarikh 11 November atau singkatannya 11/11? Nombor cantik mungkin boleh jadi hari penting untuk majlis pertunangan, perkahwinan atau masuk rumah baru mahupun mula berkerja di tempat baru.

Tidak kira apa jua perkara yang ingin dilakukan pada tarikh tersebut, apa yang pasti ia juga menjadi hari penting pada kaki 'shopping' dalam talian.


APA BEZA 'SHOPPING' HARI LAIN?

Difahamkan, tarikh 11/11 diangkat sebagai tarikh istimewa hanya sehari buat orang ramai untuk membeli belah secara 'online' atau dalam talian pada harga lebih murah serendah RM1 dan berpeluang mendapat diskaun sehingga 90 peratus. 

Menurut portal e-dagang popular di negara ini, Lazada akan menawarkan pelbagai produk pada harga jualan menarik yang dianggap jualan mega untuk pelanggan mereka membeli belah menerusi aplikasi dalam talian.

Menerusi acara dikenali 11.11 Online Revolution, pelanggan berpeluang menang pelbagai hadiah bernilai RM60 juta termasuk kereta Perodua Bezza 1.0, percutian 4 hari 3 malam untuk segala perbelanjaan di Club Med Kani Maldives bagi dua orang dewasa bernilai RM15,000, 2 pass menyertai permainan Zero G bernilai RM80,000, telefon pintar iPhone X, baucar dan banyak hadiah lain.

Kempen jualan yang membawa tema 'Shop The Universe' ini bermula dari 11 November ini sehingga 11 Disember nanti. Lazada antara portal e-dagang yang mengambil bahagian dalam kempen jualan besar-besaran ini yang akan berlaku di seluruh dunia pada 11 November ini.



RAJA E-DAGANG MALAYSIA

Berdasarkan kajian yang dijalankan iPrice Group menyatakan perkembangan industri e-dagang di negara ini sejak pertengahan tahun 2000 secara konsisten menjadikan nilainya mencecah sehingga RM24.6 bilion.

Merujuk pada data awam data awam yang disediakan laman sesawang, SimilarWeb, LinkedIn dan media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter untuk mencari trafik dalam talian mereka, bilangan kakitangan dan pengikut mereka menghuraikan tiga portal e-dagang iaitu Lazada, Zalora dan 11 Street sebagai 'Raja' e-dagang.

"Dengan mengira kedudukan purata e-dagang masing-masing, kami mendapati Lazada kekal sebagai pemenang yang jelas, diikuti oleh Zalora dan 11 Street. Ini mencerminkan pengumuman Lazada awal tahun ini, seperti yang mereka katakan Lazada di Malaysia semakin pesat berkembang berbanding dengan negara lain di mana mereka beroperasi. 

"Status utama pasaran mereka dapat dilihat dengan mudah melalui trafik mereka kerana mereka menerima rata-rata 29 juta pelawat setiap bulan manakala 11 Street, tempat ke-2 dalam trafik purata keseluruhan hanya menerima 9 juta pelawat, hampir 3 kali lebih kecil," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menariknya, dibandingkan ketika Amazon baru-baru ini memasuki Asia Tenggara melalui Singapura, Lazada yang disokong oleh Alibaba secara terbuka menyatakan keyakinan apabila menghadapi pesaing kerana mereka memperoleh kelebihan pengetahuan lokal dari enam pasar di mana mereka beroperasi dan merancang untuk meningkatkan lagi perkhidmatan mereka untuk mengekalkan kedudukan mereka sebagai pemimpin pasaran e-dagang di Malaysia.

"Kami juga melihat bahawa tiga teratas e-dagang semuanya diasaskan di rantau Asia Tenggara. Walaupun e-dagang yang berasal dari luar rantau Asia Tenggara seperti eBay dan Sephora juga tersedia untuk rakyat Malaysia, e-dagang berasaskan serantau atau tempatan seolah-olah menjadi lebih berjaya kerana mereka memperolehi kelebihan dengan pengetahuan lokal pasaran e-dagang tempatan. 

"Walau bagaimanapun, Malaysia kekal sebagai lokasi yang menarik untuk pemain antarabangsa serta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang telah mengumumkan kerjasama dengan Jack Ma untuk mewujudkan forum perdagangan elektronik untuk mempercepatkan pertumbuhan e-dagang bagi pemain tempatan dan asing," katanya.

Lazada antara platform digital paling digemari ramai pengguna untuk membeli belah secara dalam talian.

JADILAH PENGGUNA BIJAK

Berbelanja menerusi dalam talian memang cukup mudah. Tidak perlu parkir kereta, bayar tol mahupun buang masa terperangkap dalam kesesakkan lalulintas semata-mata mahu membeli sesuatu barang di pusat membeli belah.

Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan lebih berhati-hati ketika melakukan transaksi pembelian dalam talian agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Berikut 10 panduan untuk anda berbelanja dengan bijak menerusi dalam talian:
  1. Buat perbandingan harga sebelum dan selepas di mana kebiasaanya harga selepas diskaun dinyatakan dalam katalog berkenaan.
  2. Beli ikut keperluan bukan nafsu sangat penting agar pelanggan tidak membazir membeli barang yang tidak perlu.
  3. Baca komen pengguna lain sama ada berpuas hati dengan produk tersebut atau tidak menerusi ruang komen di bawah produk yang dijual.
  4. Pastikan maklumat penjual mempunyai alamat lengkap untuk memastikan segala transaksi dijamin selamat.
  5. Baca dengan teliti maklumat mengenai cara penghantaran, pemulangan semula, penukaran barang atau meminta bayaran semula.
  6. Menyimpan rekod pembelian sama ada menerusi resit yang diberikan penjual atau paling mudah 'screenshot' selepas transaki pembelian berjaya dilaksanakan.
  7. Berhati-hati ketika memasukkan maklumat peribadi dan pembayaran agar tidak terdedah kepada kegiatan 'scam' yang boleh mencuri data peribadi anda sewenangnya.
  8. Ia mungkin dianggap remeh tetapi awas jika anda melakukan transaksi pembelian menerusi komputer di tempat luar seperti siber kafe yang mungkin tanpa disedari, anda terlupa untuk 'log out' atau 'copy' password secara tak sengaja.
  9. Jika mahu cepat sekalipun, pastikan alamat sesawang atau portal penjual ditaip tanpa klik di pautan tertentu yang boleh menjurus laman sesawang palsu.
  10. Andai anda berasa terpedaya dengan produk atau sebarang penipuan, pengguna boleh membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menerusi talian bebas tol, 1-800-886-800 atau melayari laman sesawang, http://e-aduan.kpdnkk.gov.my/

Advertisement

Must-Watch Video