Sekilas
- Faisal Halim dan Nur Syazwani sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang selepas dua kali lafaz cerai pada 11 Jun dan 10 November.
- Proses tuntutan hak jagaan anak dan harta sepencarian kini dalam perbincangan antara peguam kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat.
- Pasangan ini berkahwin pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Khalish Aryan.
Kemelut rumah tangga Faisal Halim dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril berakhir dengan perceraian apabila pemain sayap Selangor FC, sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada Jumaat.
Peguam yang mewakili Faisal iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata mahkamah mengesahkan terdapat dua kali lafaz cerai yang dilakukan oleh pemain bola itu.
"Mahkamah sahkan mereka jatuh talak dua selepas berlaku dua kali perceraian. Talak pertama berlaku pada 11 Jun lalu, namun pada hari sama mereka rujuk dan perkara itu telah disahkan mahkamah.
"Kemudian berlaku lafaz talak yang kedua pada 10 November baru-baru ini, itu juga mahkamah sudah sahkan dan ketika ini Syazwani sedang menjalani tempoh idah sehingga 10 Januari depan," katanya kepada.
Dalam masa sama, Akberdin berkata, dia dan peguam yang mewakili Syazwani kini sedang berbincang mengenai urusan tuntutan hak jagaan anak dan harta sepencarian.
"Isu-isu lain selepas bercerai akan dibincangkan kemudian dan di bawa ke Mahkamah Tinggi untuk direkodkan.
"Setakat ini, saya sudah menyerahkan cadangan penyelesaian dalam bentuk tulisan berkenaan hak jagaan anak dan harta sepencarian kepada peguam Syazwani.
"Saya dimaklumkan peguamnya akan meniliti terlebih dahulu sebelum masing-masing mencapai kata sepakat. Saya difahamkan mereka menyambut baik cadangan yang kami berikan,” ujarnya.
Pada 2 September lalu, Syazwani memfailkan perceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun pada 12 September, hubungan pasangan itu dipercayai kembali pulih apabila Faisal memuat naik foto bahagia bersama isterinya di media sosial.
Bagi menguatkan lagi khabar gembira itu, isterinya turut berkongsi semula foto berkenaan di InstaStory dengan menzahirkan rasa syukur.
Namun pada 10 November, Syazwani sekali lagi memberi bayangan rumah tangganya sedang bergolak.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.
Sumber - mStar