Fashion Finder
Che Ta Tak Kisah Dikata Jaja Kisah Peribadi
Pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta akui tidak kisah apabila dikatakan menjaja kisah peribadinya dalam program realiti terbaru The House musim ketiga.
"Ramai orang di luar sana yang suka memaparkan kisah peribadi mereka di Instagram, apa sahaja mereka lakukan seperti memasak malah hanya melangkah setapak sekalipun mereka tunjuk dan upload.
"Mereka lakukan semua itu secara percuma tetapi apa yang saya lalukan dalam The House adalah dibayar. Jadi apa salahnya.
"Lagipun saya bukan buat kerja amal tetapi ini salah satu kerja dan punca rezeki saya.
"Pun begitu saya tidak mendedahkan seratus peratus kehidupan sebenar saya dan keluarga, cuma 40 persen sahaja dan selebihnya saya masih simpan sebagai privasi," katanya kepada Astro Gempak.
Che Ta ditemui hadir bersama suami Zain Saidin dan anaknya Ammar, Aniq serta Aaisyah Dhia Rana ketika sidang media program realiti tersebut di KLCC, petang tadi.
The House bakal memaparkan kisah di sebalik kehidupan penuh glamour Che Ta yang mungkin tidak pernah dikongsi dengan masyarakat umum sebelum ini.
Sementara itu, Che Ta memberitahu dia sudah bersedia menerima tanggapan negatif daripada orang luar selepas kehidupannya menjadi paparan ramai.
"Saya berani terima tawaran ini kerana saya sudah bersedia dengan semua tanggapan orang luar yang akan dilemparkan.
"Saya tak takut dengan semua komen-komen negatif tu kerana kalau kita tak buat apa pun orang masih hendak mengata, jadi baik kita buat apa yang kita rasa terbaik untuk diri kita.
"Saya rasa penonton perlu bersikap terbuka dan jangan anggap kehidupan saya sama dengan mereka," katanya lagi
The House juga turut memaparkan ragam dan kisah ahli keluarga Che Ta yang lain seperti Zain Saidin sebagai seorang suami yang romantik yang berusaha keras dalam bidang perniagaan yang diceburi serta tiga cahaya mata beliau termasuk Ammar Effendy dan Aniq Ezzra sebagai anak bujang Che Ta serta Aaisyah Dhia Rana yang comel yang bijak bergaya.
The House disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap hari Rabu bermula 18 Januari 2017 dan diikuti dengan siaran televisyen yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Rabu jam 9.30malam bermula 25 Januari 2017.
Teks oleh: Syafiqah Jalal