Sekilas
- Seorang lelaki bernama Vince berkongsi pengalamannya menderma darah sebanyak 28 kali dengan darah jenis AB+ yang sering diminta Hospital Seberang Jaya.
- Vince menjelaskan darah yang didermakannya digunakan untuk menyelamatkan nyawa tanpa mengira kaum, termasuk seorang kanak-kanak Melayu yang menghidap talasemia.
- Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Vince dan penderma darah lain atas sumbangan mereka yang tidak mengenal latar belakang demi menyelamatkan nyawa.
Seorang individu berjaya menyorot perhatian warganet selepas berkongsi pengalamannya sebagai penderma darah.
Menerusi satu hantaran di Threads, lelaki yang dikenali sebagai Vince itu berkongsi dia telah menderma darah sebanyak 28 kali, dengan setiap sesi melibatkan kira-kira 450 mililiter (cc) darah.
Menurutnya, dia memiliki darah jenis AB+ dan pernah beberapa kali dihubungi oleh pihak Hospital Seberang Jaya untuk tujuan pendermaan.
“Saya orang cina, sudah menderma darah sebanyak 28 kali.
“450 cc setiap kali, Jenis darah saya AB+. Hospital Seberang Jaya pernah beberapa kali menghubungi saya.
“Saya bertanya kenapa HSJ selalu hubungi saya? Doktor menjawab, ‘Sebab darah awak sepadan dengan darah seorang kanak-kanak Melayu yang menghidap talasemia," kongsinya.
Bagi Vince, darah yang didermakan tidak mengenal latar belakang kaum atau bangsa, sebaliknya hanya berfungsi untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
“Darah saya tidak pernah kenal Melayu, Cina atau India. Ia hanya untuk menyelamatkan nyawa. Kita saling membantu jika perlu.
“Saya anak Malaysia," tambahnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata menzahirkan ucapan terima kasih atas semangat kemanusiaan yang ditunjukkan oleh Vince.
Pada masa sama, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut menzahirkan penghargaan kepada Vince kerana terus membantu insan-insan yang memerlukan.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada En. Vince dan semua penderma darah yang terus menderma darah tanpa mengira sebarang perbezaan.
"Kisah ini mengingatkan kita semua bahawa darah tidak pernah mengenal kaum, agama atau latar belakang. Ia hanya tahu satu perkara, menyelamatkan nyawa.
"28 kali menderma, setiap titisan darah itu menjadi harapan dan penyelamat kepada seseorang individu dan dalam perkara ini seorang kanak-kanak. Itulah ihsan, lambang kasih sayang tanpa sempadan," tulis KKM di Threads.
Sumber: Threads vince.yh117