Sekilas
- Meerqeen mengakui dia suka cabaran tetapi sentiasa utamakan keselamatan, dan dia sangat menghormati pelumba Formula 1 atas keberanian dan disiplin mereka.
- Pelakon ini meminati pasukan Scuderia Ferrari dan pemandu Lewis Hamilton kerana sejarah, semangat, dan konsistensi mereka dalam perlumbaan F1.
- KitKat melancarkan kolaborasi dengan Formula 1 yang termasuk siri jelajah interaktif, produk edisi terhad, dan peraduan dengan hadiah menarik termasuk pakej ke Grand Prix Singapura 2026.
Pelakon, Meerqeen mengakui dirinya merupakan seorang yang sukakan cabaran namun dalam masa yang sama masih mengutamakan keselematan.
Ujar pemilik nama Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam ini, disebabkan itulah dia sangat menghormati pelumba Formula 1 (F1) yang sentiasa berani dalam berdepan kelajuan dan dalam masa yang sama disiplin mengutamakan keselamatan.
“Saya memang suka mencabar diri dan mencuba pengalaman baharu.
“Tapi pada masa yang sama, saya sentiasa utamakan keselamatan.
“Sebab itu saya sangat menghormati pemandu Formula 1 kerana mereka bukan sahaja berani, tetapi juga memerlukan disiplin dan fokus yang sangat tinggi,” katanya kepada Gempak.
Meerqeen berkongsi perkara tersebut ketika dijemput memeriahkan majlis pelancaran kolaborasi KitKat x Formula 1 yang berlangsung di 1 Utama, baru-baru ini.
Ditanya mengenai pasukan dan pemandu kegemaran dalam Formula 1, pelakon filem Klepet ini menjadikan pasukan Scuderia Ferrari serta pemandunya yang merupakan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton sebagai sumber inspirasi.
Ujar Meerqeen, Lewis Hamilton disifatkan sebagai antara pelumba paling konsisten yang pernah ada dalam sejarah Formula 1.
“Saya mengikuti beberapa pasukan, tetapi saya memang suka Scuderia Ferrari kerana sejarah dan semangat yang dibawa pasukan itu.
“Dari segi pemandu, saya mengagumi Lewis Hamilton atas pencapaian dan konsistensinya sepanjang karier.
“Saya juga seronok melihat persaingan antara pemandu-pemandu muda sekarang yang menjadikan setiap perlumbaan lebih menarik,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Meerqeen menyifatkan kolaborasi antara KitKat dan Formula 1 sebagai sesuatu yang unik kerana ianya menggabungkan dua elemen yang saling melengkapi.
Selain Meerqeen, acara itu turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran selebriti terkenal, Bella Astillah serta personaliti media sosial, Arieff Yong.
Pada acara yang berlangsung itu, KitKat bakal membawakan pengalaman dunia Formula 1 lebih dekat kepada rakyat Malaysia menerusi siri jelajah interaktif serta memperkenalkan rangkaian produk KitKat Formula 1 Edisi Terhad.
Malah, pengunjung turut berpeluang menguji kemahiran menerusi simulator perlumbaan bagi merasai sendiri pengalaman seolah-olah berada di litar Formula 1.
Selain itu, setiap pembelian minimum RM10 produk KitKat yang mengambil bahagian membolehkan pengguna menyertai peraduan dengan hanya memuat naik resit pembelian menerusi laman mikro peraduan atau WhatsApp.
Sepanjang tempoh kempen selama 12 minggu, lebih 1,000 hadiah menarik ditawarkan termasuk barangan eksklusif KitKat Formula 1 edisi kolaborasi.
Lebih mengujakan, seorang pemenang bertuah bakal membawa pulang pakej lengkap untuk dua orang ke FORMULA 1 SINGAPORE AIRLINES SINGAPORE GRAND PRIX 2026, termasuk peluang menyaksikan perlumbaan di Litar Jalan Raya Marina Bay serta penginapan di hotel lima bintang.
Bukan itu sahaja, lima pemenang Hadiah Pertama pula masing-masing akan memenangi sepasang tiket Pit Grandstand 3 Hari bagi menikmati aksi perlumbaan secara langsung sepanjang hujung minggu Grand Prix.