Sekilas
- Penganjur Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 risau dengan situasi jerebu yang mungkin ganggu festival di Taman Tasik Titiwangsa, dan akan pantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sepanjang acara berlangsung.
- Festival dari 11 hingga 16 September ini akan menampilkan lebih 80 vendor dengan tema ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, merangkumi makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti.
- AMFF 2026 juga akan diteruskan di MAEPS, Serdang pada Oktober dengan lebih 600 vendor, sambil kerjasama dengan rakan strategik seperti SimplySiti dan Anytime Fitness untuk pelbagai aktiviti menarik.
Penganjur Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 mengakui situasi jerebu yang melanda ketika ini menjadi antara kebimbangan utama menjelang penganjuran festival berkenaan di Taman Tasik Titiwangsa.
Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, perkara tersebut turut dibangkitkan oleh vendor yang bakal mengambil bahagian memandangkan sebahagian besar aktiviti berlangsung di kawasan terbuka.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan pihak penganjur akan terus memantau keadaan semasa dan bersedia mendapatkan pandangan serta cadangan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
“Perkara ini memang diutarakan oleh vendor-vendor kami juga. Sebagai penganjur, keperluan kami banyak bergantung kepada pandangan rakan strategik kami, MOTAC.
“Saya percaya MOTAC akan memberikan cadangan bagaimana kita perlu menyesuaikan keadaan sekiranya masalah jerebu berterusan,” katanya kepada Gempak.

Menurut Rayme, antara perkara yang akan diberikan perhatian ialah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sepanjang tempoh penganjuran festival.
“Contohnya kalau tiba-tiba bacaan IPU meningkat, mungkin akan ada nasihat tertentu yang perlu kita ikut.
“Kebimbangan itu memang ada, tetapi kita mendoakan usaha kerajaan termasuk langkah pembenihan awan dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu dan semoga situasi semakin baik,” katanya.
Dalam masa sama, Rayme menegaskan aspek kesihatan pengunjung dan peniaga akan terus menjadi keutamaan sekiranya keadaan udara bertambah buruk.
“Kalau ada arahan bahawa kualiti udara tidak sesuai dan kita dinasihatkan untuk tutup atau hentikan sementara, kita akan pertimbangkan perkara itu.
“Kita tidak mahu menjejaskan kesihatan peniaga. Walaupun kita berniaga, kita tetap perlu mengambil kira sudut lain termasuk soal kesihatan,” katanya.
AMFF 2026 dijadualkan berlangsung dari 11 hingga 16 September di Taman Tasik Titiwangsa sempena Festival Budaya Malaysia dan sambutan Hari Malaysia.
Bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, festival anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd dengan kerjasama MOTAC itu menghimpunkan pelbagai segmen termasuk gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta aktiviti komuniti.
Menurut Rayme, edisi kali ini akan menampilkan lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen perniagaan dengan makanan kekal sebagai tunjang utama festival.
“Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat ‘Kita Malaysia’ sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia,” katanya.

Antara tarikan utama ialah Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert sempena Ambang Hari Malaysia, sebelum disusuli SimplyFit Zumba Malaysia Day pada 16 September.
AMFF 2026 turut bekerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day.
Tahun lalu, AMFF 2025 berlangsung di pekarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung, selain kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi acara Fun Run dan podcast.

Selepas Taman Tasik Titiwangsa, AMFF 2026 akan diteruskan di MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober sempena MySihat Expo 2026.
Edisi di MAEPS dijangka menghimpunkan kira-kira 600 vendor meliputi sektor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti.