Sekilas
- Anuar Faizal merancang menjadikan jenama fesyennya sebagai suara fesyen Asia Tenggara yang berani dan relevan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Fesyen digunakan sebagai medium diplomasi budaya untuk mempromosikan identiti dan warisan Malaysia secara global melalui kolaborasi dan persembahan berkonsepkan pengalaman.
- Rekod pencapaian antarabangsa Anuar Faizal sepanjang 2025 menjadi asas kukuh untuk memperkukuhkan jenama dan memperluas jaringan fesyen Malaysia di peringkat serantau dan global.
Jenama fesyen Anuar Faizal terus mengorak langkah strategik dengan visi besar menjelang 2026 apabila meletakkan fesyen sebagai medium penting dalam membentuk identiti budaya dan naratif Malaysia di peringkat antarabangsa, seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26).
Anuar Faizal berkata, 2026 akan menjadi fasa penting untuk memperkukuhkan jenama itu bukan sekadar dalam dunia fesyen, tetapi sebagai platform kreatif yang meraikan identiti, warisan dan masa depan fesyen serantau, selari dengan peranan aktifnya bersama Malaysia International Digital Fashion Week (MIDFW).
“Visi saya adalah menjadikan Anuar Faizal sebagai suara fesyen Asia Tenggara yang berani, relevan dan berakar pada naratif tempatan, tetapi bersifat universal serta mampu diterima di pelbagai pasaran dunia.
“Malah, misi utama 2026 adalah memperkasakan pereka dan bakat tempatan agar lebih berdaya saing di peringkat global, selain membuka lebih banyak ruang kolaborasi rentas negara yang mampu memperluas jaringan dan pendedahan industri fesyen Malaysia,” katanya.
Bagi mencapai misi itu, Anuar Faizal merancang untuk memperhebatkan penyertaan antarabangsa menerusi kolaborasi strategik, persembahan fesyen berkonsepkan pengalaman atau immersive showcases, serta penglibatan dalam inisiatif fesyen yang berteraskan budaya, pendidikan dan komuniti.
Dalam masa sama, promosi jenama Royal Sembilan akan diperkasakan sebagai antara tunjang penting dalam mengetengahkan kehalusan fabrik, kraf dan nilai warisan tempatan yang menjadi identiti tersendiri AF.
"Untuk tahun ini (2026), saya lebih menekankan pendekatan yang bukan hanya tertumpu kepada siluet atau fabrik, tetapi bagaimana cerita budaya diterjemahkan ke dalam rekaan kontemporari yang segar dan relevan.
“Penggunaan struktur, tekstur dan perincian simbolik yang lebih berani, digabungkan dengan sentuhan kraf tempatan yang diberi nafas baharu tanpa menghilangkan nilai asalnya,” katanya.
Dalam konteks TMM26, Anuar Faizal melihat fesyen sebagai medium diplomasi budaya yang sangat berkuasa. Melalui rekaan dan persembahan visual, kisah Malaysia yang kaya dengan kepelbagaian budaya, kehalusan seni dan kreativiti masyarakat dapat disampaikan kepada dunia secara halus tetapi berimpak tinggi.
“Fesyen boleh menjadi ‘duta visual’ negara. Ia mampu mempromosikan Malaysia bukan hanya sebagai destinasi pelancongan, tetapi sebagai hab kreatif yang sarat dengan identiti dan cerita.
“Saya mahu menterjemahkan semangat TMM26 melalui persembahan fesyen berkonsepkan destinasi, kolaborasi bersama penggiat seni dan pelancongan, serta penghasilan koleksi yang diinspirasikan oleh negeri, komuniti dan warisan tempatan.


Rekod pencapaian Anuar Faizal sepanjang 2025 menjadi asas kukuh kepada perancangan besar itu. Bermula Februari, Anuar Faizal terlibat dalam CIMB Raya dan Intermark Raya bersama Keluarga Diraja Negeri Sembilan, sebelum melangkah ke pentas Brunei pada Mac di International Convention Centre Brunei bersama Pengiran Anak Puteri Amal Rakiah Bolkiah.

Pengaruh Anuar Faizal terus melebar ke Bali pada April bersama Gabenor Bali, diikuti penganjuran MYFW pada Mei di Kuala Lumpur di bawah MIDFW yang menghimpunkan 16 pereka tempatan dan antarabangsa dari Brazil, Filipina, Indonesia, Kyrgyzstan, Itali dan Malaysia, sekali gus mencipta inisiatif pertama mengumpulkan pereka serantau dalam satu platform.
Momentum antarabangsa diteruskan dengan penyertaan di TFW Bangkok, TKLMFW Kuala Lumpur, KLmePSA bersama Raja Muda Perlis, Bali Discovery Mall dan Bali International Fashion Festival, membuktikan konsistensi Anuar Faizal di pentas serantau.
Kemuncak 2025 menyaksikan Anuar Faizal menerajui Batik Lestari KL anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, selain rangka lawatan ASEAN ke Manila dan Kemboja dengan sokongan Kedutaan Besar Malaysia serta Grab Cambodia, sebelum menutup tirai tahun dengan Indonesia Fashion Runway di Jakarta atas jemputan Kementerian Ekonomi Kreatif Indonesia.
Keseluruhan perjalanan ini mengukuhkan peranan Anuar Faizal sebagai duta fesyen Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus meletakkan jenama itu di landasan tepat untuk menyumbang secara signifikan kepada naratif budaya dan promosi negara menjelang TMM26.