Sekilas
- Remadesia berjaya mencipta Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar di Malaysia menggunakan bahan tarpaulin industri terpakai dan lebihan bahan, diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
- Projek ini melibatkan penyertaan masyarakat dengan pengunjung boleh meninggalkan tandatangan pada beg gergasi sebagai tanda sokongan kepada konsep upcycling dan kelestarian.
- Usaha ini juga membuka peluang pekerjaan kepada komuniti B40, ibu tunggal, Orang Asli dan golongan kurang bernasib baik, sambil mempromosikan produk upcycle sebagai cenderamata Malaysia yang bermakna.
Siapa sangka bahan tarpaulin industri yang mungkin berakhir sebagai sisa boleh diberikan ‘kehidupan kedua’ sehingga berjaya mencatat rekod di Malaysia.
Itulah yang dilakukan jenama tempatan, remadesia apabila menghasilkan ‘Beg Tarpaulin Upcycle Terbesar’ sehingga menerima pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records.
Pengiktirafan tersebut berlangsung sempena Malaysia Circular Economy & Sustainability Week 2026 di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 September lalu.

Menariknya, beg gergasi berkenaan bukan dihasilkan menggunakan material baharu semata-mata, sebaliknya dibina terutamanya daripada tarpaulin industri yang diperoleh semula serta lebihan bahan industri.
Dengan ketinggian 410 sentimeter, panjang 220 sentimeter dan lebar 120 sentimeter, pemasangan berskala besar itu diwujudkan bagi menunjukkan bagaimana bahan yang mungkin dibuang sebenarnya masih boleh diberikan fungsi serta nilai baharu menerusi kreativiti dan hasil kerja tangan.

Malah, pengunjung turut berpeluang meninggalkan tandatangan masing-masing pada beg gergasi tersebut sebagai tanda sokongan terhadap konsep upcycling dan usaha ke arah Malaysia yang lebih hijau.
Setiap tandatangan sekali gus menjadikan beg berkenaan bukan sekadar sebuah projek jenama, tetapi karya kolektif yang turut melibatkan penyertaan masyarakat.
Pengasas remadesia, Alfred Kong berkata, pengiktirafan tersebut diharap dapat membuka mata lebih ramai mengenai potensi penggunaan semula bahan.
“Pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan remadesia. Namun, yang lebih penting, kami berharap pencapaian ini dapat menjadi titik permulaan untuk lebih ramai memahami konsep reka bentuk kitaran, penggunaan semula bahan dan amalan penggunaan yang lebih bertanggungjawab,” katanya.
Apa yang lebih menarik, usaha memberikan kehidupan kedua kepada sisa industri itu turut membawa nilai sosial apabila proses pengeluaran membuka peluang kepada beberapa kelompok komuniti.
“Apabila bahan-bahan ini diberikan kehidupan kedua, kami juga berharap nilai yang terhasil daripada proses upcycling dapat memberi manfaat kepada komuniti.
“Ini termasuk mewujudkan peluang kepada wanita B40, ibu tunggal, golongan Orang Asli dan komuniti yang kurang mendapat akses untuk terlibat dalam sebahagian daripada proses pengeluaran, supaya impak upcycling bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, tetapi turut mencipta nilai sosial,” katanya.

Selain beg gergasi tersebut, pengunjung turut didedahkan dengan proses bagaimana bahan industri melalui proses pembersihan, pemotongan, reka bentuk dan hasil kerja tangan sebelum ditransformasikan menjadi produk praktikal untuk kegunaan harian.

Antara aktiviti lain yang diadakan termasuk Upcycled Bag Sand Bag Challenge dan DIY Personalise Corner yang membolehkan pengunjung menghasilkan gaya tersendiri menggunakan aksesori serta elemen hiasan.
Dalam pada itu, pengasas remadesia, Cindy Wong berharap produk upcycle tempatan suatu hari nanti mampu menjadi antara cenderamata yang membawa identiti Malaysia.
“Kami berharap beg remadesia secara beransur-ansur dapat menjadi satu cenderamata Malaysia yang bermakna.
“Apabila pelancong tempatan atau antarabangsa mencari sesuatu yang benar-benar mewakili Malaysia, kami berharap mereka bukan sahaja membawa pulang produk yang dibuat di Malaysia, tetapi juga sebuah cerita tentang bahan, hasil kerja tangan, komuniti dan kelestarian,” katanya.
Selepas pencapaian tersebut, remadesia merancang untuk terus membangunkan produk upcycle, menjalinkan kerjasama dengan jenama dan syarikat tempatan serta menganjurkan bengkel dan inisiatif komuniti bagi memperkenalkan potensi bahan yang kebiasaannya dianggap sebagai sisa.

Sumber: remadesia