Sekilas
- Jenama penjagaan rumah Do'zee mungkin akan memperkenalkan artis sebagai duta untuk kukuhkan jenama di pasaran tempatan dan antarabangsa.
- Do'zee memperuntukkan RM1.5 juta untuk pemasaran termasuk kerjasama dengan influencer, media, dan kempen promosi.
- Do'zee sasarkan jualan RM100 juta tahun ini dengan pelancaran produk premium Royal Blue dan rancangan pengembangan ke pasaran antarabangsa.
Jenama penjagaan rumah tempatan, Do'zee, tidak menolak kemungkinan bakal memperkenalkan barisan artis sebagai duta baharu dalam usaha memperkukuhkan jenama itu di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif SR Asia Resources Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohd Syukri Ibhrim berkata, beberapa selebriti sebenarnya sudah menyatakan minat untuk bekerjasama, namun pihak syarikat masih belum membuat keputusan muktamad.
"Sebenarnya sebelum ini kami memang pernah mempunyai duta. Malah sekarang pun ada beberapa artis yang berminat untuk bekerjasama dengan Do'zee.
"Cuma sejak kebelakangan ini saya agak sibuk, jadi perkara itu belum sempat dimuktamadkan. Buat masa ini kami lebih memberi fokus kepada jualan serta pemasaran," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran detergen premium Royal Blue di Puncak Alam.

Menurut beliau, penggunaan selebriti sebagai duta mampu membantu memperluaskan lagi pengaruh sesebuah jenama selain meningkatkan keyakinan pengguna terhadap sesuatu produk.
"Bagi saya, fungsi seorang duta adalah untuk memperkenalkan produk kepada lebih ramai pengguna.
"Saya hanya seorang usahawan. Saya bukan influencer, bukan selebriti dan bukan juga penghibur.
"Sebab itu apabila ada artis sebagai duta, ia menjadi satu platform yang sangat baik untuk memperluaskan pengaruh jenama serta meningkatkan keyakinan pengguna.
"Bila mereka nampak artis menggunakan produk kita, mereka akan lebih yakin dan terdorong untuk mencuba," katanya.

Dalam masa sama, Do'zee turut memperuntukkan kira-kira RM1.5 juta bagi memperkukuhkan strategi pemasaran menerusi kerjasama bersama influencer, media, kempen promosi serta pelbagai aktiviti pemasaran.
"Setakat ini kami memperuntukkan kira-kira RM1.5 juta untuk pemasaran.
"Peruntukan itu meliputi kerjasama bersama influencer, media, pelbagai program promosi, pelancaran produk serta insentif kepada stokis," katanya.
Mengulas mengenai perkembangan syarikat, Dr. Mohd Syukri berkata Do'zee menyasarkan jualan sebanyak RM100 juta tahun ini, meningkat daripada RM70 juta yang direkodkan sebelum ini.
Beliau optimis sasaran itu mampu dicapai dengan pelancaran produk premium terbaharu, Royal Blue, yang dibangunkan selama lebih setahun menerusi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain pasaran tempatan, Do'zee turut merancang membawa Royal Blue ke beberapa pasaran antarabangsa termasuk Bangkok, Brunei, Singapura dan Timur Tengah sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan jenama.