Masalah kesihatan seksual lelaki seperti fungsi ereksi (Erectile Dysfunction, ED) dan pancut awal (Premature Ejaculation, PE) kini semakin mendapat perhatian di Malaysia.
Kajian antarabangsa menunjukkan dua daripada tiga lelaki berdepan risiko mengalami masalah ini sepanjang hayat mereka. Selain menjejaskan keyakinan diri, ia turut memberi kesan terhadap keharmonian rumah tangga dan kesejahteraan keluarga.
Advertisement
Menurut Pengarah Urusan HIM Wellness, Dr. Ahmad Samhan, masih ramai lelaki memilih untuk berdiam diri kerana rasa malu, sehingga akhirnya isteri yang tampil mendapatkan bantuan.
“Kesihatan seksual lelaki bukan sekadar isu peribadi. Ia memberi impak besar kepada keluarga dan masyarakat. Apabila lelaki sihat, rumah tangga lebih bahagia dan produktiviti hidup meningkat,” katanya.
Beliau menambah bahawa masalah ED dan PE boleh berpunca daripada faktor kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, hormon rendah serta gaya hidup tidak sihat termasuk stres dan merokok.
Namun, menurut Dr. Samhan, terdapat banyak rawatan berkesan yang boleh membantu lelaki kembali sihat, daripada perubahan gaya hidup seperti berhenti merokok, mengawal paras gula dan bersenam, hinggalah kepada rawatan moden seperti shockwave therapy yang meningkatkan aliran darah ke zakar.
Selain itu, senaman kegel, teknik kawalan, dan pengambilan suplemen berdaftar yang selamat juga mampu memberi kesan positif.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Seminar Pengukuhan dan Sambutan Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki anjuran Klinik Kesihatan Sungai Besi dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Program ini bertujuan membongkar mitos, berkongsi fakta sebenar mengenai kesihatan seksual lelaki serta menggalakkan golongan lelaki mendapatkan rawatan tanpa rasa malu.
“Saya berharap program sebegini menjadi platform berterusan untuk memecahkan stigma dan mengubah persepsi bahawa kesihatan lelaki adalah sebahagian penting daripada kesihatan keluarga dan negara,” ujar Dr. Samhan lagi.
HIM Wellness ialah pusat kesihatan lelaki berpusat di Kuala Lumpur dengan misi meningkatkan kesedaran dan kesejahteraan lelaki Malaysia. HIM Wellness komited menyokong usaha KKM dalam memperkukuh kesihatan masyarakat melalui pendidikan, konsultasi profesional, serta program kesedaran awam.
