Skip to main content

Gaya Hidup

The Experts: Batuk Kering Bukan Sekadar Batuk Berdarah, Ini Beza TB Aktif & TB Laten

Batuk

Ramai beranggapan penyakit batuk kering atau Tuberkulosis (TB) hanya menyerang paru-paru dan pasti disertai batuk berdarah. Namun hakikatnya, tanggapan itu tidak sepenuhnya tepat.

Menurut pempengaruh, Muhammad Noor Zakaria, TB merupakan penyakit berbahaya yang boleh hadir tanpa sebarang simptom dan tidak semestinya melibatkan paru-paru sahaja.

Walaupun kebanyakan kes TB menyerang paru-paru, kuman TB juga boleh menjangkiti bahagian lain seperti tulang, kawasan bawah pinggang malah otak. 

Keadaan ini menjadikan TB sebagai penyakit yang perlu diberi perhatian serius.


Beza TB Aktif dan TB Laten

Muhammad Noor turut menjelaskan terdapat dua jenis TB yang perlu difahami orang ramai, iaitu TB Aktif dan TB Laten.

TB Aktif berlaku apabila kuman TB menyebabkan simptom jelas seperti batuk berpanjangan, batuk berdarah, batuk kering, penurunan berat badandan badan lemah dan tidak bermaya

Pesakit TB aktif perlu segera mendapatkan rawatan dan diasingkan kerana mereka boleh menjangkiti orang lain.

Manakala TB Laten pula berlaku apabila kuman TB sudah memasuki badan tetapi berjaya “ditidurkan” oleh sistem imun yang kuat. Individu dengan TB laten tidak menunjukkan sebarang simptom dan kelihatan sihat seperti biasa.

Namun begitu, kuman TB tersebut boleh menjadi aktif semula jika sistem imun menjadi lemah akibat faktor seperti sakit, tekanan atau penyakit lain. Ketika itu, TB laten boleh bertukar menjadi TB aktif dan mula menjangkiti orang sekeliling.

Cara Mengesan TB Laten

Bagi mengesan TB laten, Muhammad Noor memaklumkan terdapat ujian khas seperti TB IGRA dan TB Gold Quantiferon. 

Ujian darah ini mampu mengesan kuman TB dalam badan walaupun individu tidak menunjukkan sebarang simptom.

“Kalau rasa pernah terdedah kepada pesakit TB aktif tetapi tidak ada simptom, pergi jumpa doktor dan buat ujian ini. Doktor boleh beri rawatan awal untuk mengelakkan TB menjadi aktif,” katanya.

Kesimpulannya, TB bukan penyakit yang boleh dipandang ringan kerana ia boleh hadir secara senyap dan menjadi berbahaya jika tidak dirawat. Kesedaran awal dan pemeriksaan kesihatan sangat penting bagi melindungi diri sendiri dan orang tersayang.

Must-Watch Video

Advertisement