Skip to main content

Gaya Hidup

The Experts: Masih Boleh Kerja & Senyum Tak Semestinya Anda Baik-Baik Sahaja,Kenali Apa Itu High Functioning Depression

Stress

Pernahkah anda merasakan diri mampu menjalani rutin harian seperti biasa namun dalam masa sama anda sebenarnya tidak berada dalam keadaan baik?

Menurut pempengaruh media sosial, Muhammad Noor Zakaria situasi itu mungkin petanda seseorang itu sedang mengalami High Functioning Depression iaitu satu bentuk kemurungan yang sering tidak disedari.

Jelasnya, individu yang mengalami keadaan ini kelihatan masih mampu bekerja, pulang ke rumah, ketawa, meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan, malah aktif di media sosial. Namun, semua itu tidak semestinya mencerminkan apa yang dirasai di dalam diri.

“Ramai ingat kalau seseorang itu masih boleh pergi kerja, balik kerja, gelak-gelak dan aktif di media sosial, maknanya dia okey. Tapi sebenarnya tak semestinya,” jelasnya.

Muhammad Noor atau lebih mesra disapa Mdno menjelaskan bahawa High Functioning Depression mempunyai persamaan dengan kemurungan biasa, namun perbezaannya ialah individu masih mampu berfungsi seperti biasa dalam kehidupan seharian. 

Justeru, keadaan ini menjadikannya lebih sukar untuk dikesan.

Mdno turut berkongsi empat simptom utama yang perlu diberi perhatian.

1. Hilang minat terhadap perkara yang dahulu disukai. Aktiviti atau hobi yang sebelum ini memberi kegembiraan kini terasa hambar dan tidak lagi menarik.

2. Gangguan tidur dan keletihan berpanjangan. Individu mungkin sukar tidur malam, atau walaupun sudah cukup rehat, tetap berasa letih dan lesu keesokan harinya.

3. Mudah marah terhadap perkara kecil. Emosi menjadi tidak stabil dan reaksi terhadap situasi remeh menjadi berlebihan.

4. Rasa kosong dalam diri walaupun kehidupan dilihat lengkap di mata orang lain seperti mempunyai keluarga, anak-anak, kerjaya dan harta. Individu tetap merasakan kekosongan emosi yang sukar dijelaskan.

Tambahnya, individu yang mengalami keadaan ini sering disalah tafsir, malah ada yang mengaitkannya dengan kurang ibadah.

Masalah utama untuk mengesan masalah ini adalah individu yang mengalami keadaan ini tidak menyedarinya, kerana mereka merasakan diri masih mampu menjalani kehidupan seperti biasa atau sekadar menganggap diri terlalu penat.

Hakikatnya, ia merupakan sebahagian daripada mental exhaustion yang jika dibiarkan berisiko membawa kepada kemurungan yang lebih serius.

Sehubungan itu, Mdno menyeru orang ramai, khususnya mereka yang tinggal di bandar dan hidup dalam tekanan tinggi agar tidak memandang ringan simptom-simptom tersebut.

“Kalau rasa ada tanda-tanda ini, tolong sangat-sangat pergi jumpa kaunselor atau doktor. Jangan rasa segan silu. Jangan tunggu sampai terlambat, sampai kita dah tergelincir dan masuk ke tahap gangguan mental, baru nak berubat,” nasihatnya.
 

Must-Watch Video

Advertisement