Sekilas
- Nasi Kandaq Fest 3.0 akan berlangsung pada 29-30 November 2025 di Datum Jelatek Shopping Centre sempena ulang tahun ketiga pusat beli-belah tersebut.
- Festival ini menampilkan sembilan legenda nasi kandar dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor dengan pelbagai aktiviti seperti promosi Nasi Kandar RM3, pertandingan dan demonstrasi memasak.
- Acara ini mendapat sokongan PRESMA dan komuniti Nasi Kandaq Hunters, bertujuan meraikan warisan budaya serta menyatukan masyarakat melalui makanan dan hiburan.
FriedChillies bersama Datum Jelatek Shopping Centre sekali lagi menganjurkan Nasi Kandaq Fest 3.0 yang akan berlangsung pada 29 hingga 30 November 2025 sebagai acara kemuncak sambutan ulang tahun ketiga pusat beli-belah tersebut.
Edisi kali ini hadir dengan gabungan sembilan legenda nasi kandar dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor.
Barisan vendor ini dianggap paling Surrr dalam sejarah penganjuran festival, dengan sokongan daripada PRESMA (Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia) serta komuniti Facebook Nasi Kandaq Hunters (NKH).

Meneruskan kejayaan edisi sebelumnya, Nasi Kandaq Fest 3.0 menjanjikan hujung minggu penuh rasa, warisan dan keseronokan.
Festival ini mengetengahkan juadah nasi kandar autentik, demonstrasi masakan, aktiviti komuniti serta hiburan keluarga yang berlangsung sepanjang dua hari, semuanya berpusat di Datum Jelatek sebagai lokasi sambutan ulang tahun istimewa.
Antara tarikan utama termasuk promosi Nasi Kandar RM3 pada jam 3.33 petang untuk 333 pengunjung setiap hari, pertandingan pakaian terbaik, pertandingan makan, aktiviti keluarga dan mewarna untuk kanak-kanak, persembahan pentas serta demonstrasi memasak.

Turut serta sebagai rakan rasmi ialah Able Farm sebagai Krimer Rasmi, Jasmine Rice sebagai Beras Rasmi dan ECOSAFA sebagai Rakan Minyak Masak Rasmi.
Barisan Sembilan Lejen Paling Surrr
FriedChillies dan NKH telah memilih sembilan vendor yang mewakili pelbagai cabang dunia nasi kandar daripada legenda Pulau Pinang hingga jaguh KL dan bintang dari Johor.
Barisan tersebut merangkumi nama-nama ikonik seperti Deens Maju di Jalan Gurdwara, Nasi Kandar Kampung Melayu, Pelita Chai Leng Park, Kudu, Hameediyah, LC Kampung Baru, Nasi Kandaq Talam dari Johor, Nasi Kandar Bawah Pokok serta Ibramsha yang kini kembali beroperasi di lokasi baharunya.

Setiap vendor akan mempersembahkan lauk signature masing-masing serta menu eksklusif sepanjang festival.

Menurut Adly Rizal, CEO FriedChillies, barisan vendor tahun ini adalah yang paling hebat pernah dikumpulkan.
"Kami sangat teruja untuk menganjurkan Nasi Kandaq Fest 3.0 di Datum Jelatek sempena ulang tahun mereka yang ketiga. Peminat bukan sahaja akan menikmati makanan, tetapi juga kemudahan ke sini, akses terus melalui LRT, parkir yang selesa, dan ruang yang ideal untuk makan bersama," katanya.
CEO Datum Jelatek Shopping Centre, Zetty Rahim, menyatakan bahawa penganjuran ini selari dengan visi pusat beli-belah tersebut sebagai ruang komuniti, budaya dan perayaan.
"Kami mahukan sebuah acara yang meraikan warisan Malaysia sambil menyatukan masyarakat dan Nasi Kandaq Fest 3.0 memenuhi matlamat ini. Menghimpunkan sembilan lejen nasi kandar di bawah satu bumbung adalah pengalaman yang jarang berlaku, dan kami berbangga membawanya kepada pengunjung kami," tambahnya.
PRESMA melalui Presiden baharu Datuk Mohamed Mosin memberikan sokongan penuh terhadap festival ini. Menurut Datuk Mosin, nasi kandar bukan sekadar makanan tetapi lambang budaya serta identiti warisan Muslim-India Malaysia.
"Nasi kandar lebih daripada makanan tapi ia simbol budaya dan identiti warisan Muslim-India Malaysia.
"PRESMA berbangga menyokong festival yang menghimpunkan para pengusaha nasi kandar disegani dari seluruh negara. Acara seperti ini memperkukuh identiti kulinari kita dan menghargai kerja keras para pengusaha restoran.
"Kami memuji inisiatif FriedChillies dan Datum Jelatek atas penganjuran ini," katanya.

Pandai Othman selaku pengasas dan admin komuniti Nasi Kandaq Hunters yang kini mencecah lebih 275,000 ahli turut menyatakan keterujaan mereka untuk menyokong festival ini.
Pengunjung dinasihatkan hadir awal terutamanya bagi mendapatkan menu dari vendor popular serta menikmati promosi Nasi Kandar RM3 yang pastinya menjadi rebutan ramai.
