Sekilas
- Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 sebagai platform utama untuk penggiat industri kopi dari seluruh Asia.
- Acara ini bertujuan mengembangkan jaringan perniagaan, perkongsian ilmu, dan peluang kerjasama dalam industri kopi serantau serta mempromosikan budaya kopi Malaysia yang unik.
- Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 akan berlangsung pada November ini, manakala Sidang Kemuncak Kopi Asia dijadualkan pada April 2027, termasuk Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia.
Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan penggiat industri kopi dari seluruh Asia menerusi penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027.
Kedua-dua acara itu diperkenalkan sebagai platform baharu bagi memperluaskan jaringan perniagaan, perkongsian ilmu serta membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam industri kopi di peringkat serantau.
Inisiatif tersebut diperkenalkan dalam satu majlis pelancaran di Pavilion Damansara Heights yang menghimpunkan pemain industri, pengusaha kopi, rakan strategik serta peminat kopi.
Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim dan turut dihadiri Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim serta Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur, Kung Suan Ai.
Menurut Mohd Amirul Rizal, perkembangan budaya kopi tempatan kini boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang memperkenalkan identiti Malaysia kepada pengunjung.
Malah, budaya kopi negara mempunyai keunikan tersendiri apabila berkembang daripada tradisi kedai kopi dan kopitiam kepada kemunculan industri kopi khusus yang semakin mendapat perhatian.
“Budaya kopi di Malaysia mencerminkan kepelbagaian, kreativiti dan keramahan masyarakat kita. Daripada kopi 'O', kopi 'C' dan kopi tarik yang menjadi kegemaran ramai, hinggalah kepada kemunculan kafe-kafe moden yang menawarkan pelbagai jenis kopi dan adunan kreatif, semuanya melambangkan evolusi budaya kopi negara. Evolusi inilah yang memberi peluang kepada pelawat untuk mengenali Malaysia daripada sudut yang berbeza, bukan sahaja melalui tempat dan tarikan pelancongan, tetapi menerusi makanan, minuman dan perniagaan tempatan.
“Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia dapat membawa kisah kopi Malaysia ke peringkat yang lebih luas, selain menghubungkan pemain industri tempatan dengan rangkaian pelancongan dan perniagaan antarabangsa,” katanya.
Dalam majlis sama, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut dimeterai antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dan Asia Specialty Coffee Association (ASCA) yang berpangkalan di Korea Selatan bagi menjayakan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 di Kuala Lumpur.
Sidang kemuncak itu dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 4 April 2027, serentak dengan Festival Kopi Kuala Lumpur 2027.
Acara berkenaan dijangka menghimpunkan pengeluar dan pemanggang kopi, pengusaha kafe, usahawan serta profesional industri dari seluruh Asia.
Selain menjadi medan pertukaran pengetahuan dan kepakaran, penganjurannya dijangka membuka ruang lebih luas kepada pemain industri untuk membina hubungan perniagaan serta meneroka peluang kerjasama di peringkat serantau.
Turut menjadi tumpuan ialah Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia yang dijadualkan berlangsung pada malam 3 April 2027 bagi memberi pengiktirafan kepada kafe dan pengusaha yang mencapai kecemerlangan dalam industri berkenaan.
Sebelum itu, Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 bakal berlangsung dari 6 hingga 9 November ini, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa menikmati kepelbagaian budaya kopi Malaysia.
Festival itu bakal mengetengahkan perjalanan industri kopi tempatan daripada warisan kopi tradisional sehingga perkembangan kopi khusus yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna dan pengusaha.

Penganjuran kedua-dua acara tersebut turut dilihat mempunyai potensi untuk memberi limpahan kepada sektor pelancongan apabila pengalaman makanan dan minuman semakin menjadi antara faktor yang menarik pelawat mengenali sesebuah destinasi.
Dengan kepelbagaian sajian, minuman serta gaya hidup bandar, Kuala Lumpur dan Selangor dilihat mempunyai kelebihan menawarkan pengalaman gastronomi lebih luas termasuk menerusi budaya kopi.
Kesan ekonomi daripada penganjuran acara berkenaan juga dijangka merangkumi sektor berkaitan pelancongan dan perniagaan termasuk perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan serta pengangkutan.

Dalam pada itu, laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak Kopi Asia turut dilancarkan bagi membolehkan pemain industri dan bakal peserta mendapatkan maklumat mengenai program serta peluang penyertaan.
Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 sekali gus dilihat berpotensi membuka lembaran baharu buat industri kopi tempatan dengan Kuala Lumpur menjadi titik pertemuan antara pengusaha Malaysia dan komuniti kopi dari seluruh Asia.