Sekilas
- Ashhry Atan meraikan pensijilan halal JAKIM untuk restoran Ashhryshoshedap di Johor Bahru dengan jamuan sarapan percuma kepada hampir 1,000 pengunjung.
- Proses mendapatkan sijil halal melibatkan pemeriksaan terperinci bahan mentah, penyediaan, dan kebersihan bagi memastikan konsep halalan toyyiban dipatuhi.
- Ashhry merancang potongan harga 50% sempena ulang tahun kelahirannya dan berhasrat mengembangkan perniagaan ke Kuala Lumpur dalam dua tahun akan datang.
Pempengaruh dan usahawan, Ashhry Atan berkongsi kegembiraan apabila cawangan pertama restorannya, Ashhryshoshedap di Nongchik Riverside, Johor Bahru, Johor menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Lebih istimewa, Ashhry meraikan kejayaan tersebut dengan menjamu hampir 1,000 pengunjung sarapan secara percuma sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan terhadap sokongan pelanggan.
Menurut Ashhry, inisiatif itu merupakan salah satu cara untuk berkongsi rezeki selepas melalui pelbagai cabaran dalam mengusahakan perniagaan makanan dan minuman.
“Alhamdulillah, hari ini saya mengadakan program sarapan percuma untuk orang ramai sempena meraikan kejayaan Ashhryshoshedap memperoleh sijil halal daripada JAKIM.
“Saya mahu berkongsi berita gembira ini dengan pelanggan dan semua pihak yang sentiasa menyokong kami sejak awal pembukaan restoran sehingga sekarang.
“Bukan mudah untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang ramai. Dalam perniagaan makanan dan minuman, kita perlu sentiasa menjaga kualiti makanan serta perkhidmatan yang diberikan.
“Kalau tidak konsisten, memang sukar untuk bertahan. Jadi, program ini adalah salah satu cara saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus menyokong Ashhryshoshedap,” katanya.
Dalam pada itu, Ashhry menjelaskan bahawa mendapatkan pensijilan halal merupakan antara keutamaannya bagi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap hidangan yang disediakan.

Meskipun beragama Islam, dia berpendapat aspek pensijilan halal tidak boleh dipandang ringan kerana turut melibatkan pemilihan bahan mentah, proses penyediaan serta kebersihan.
“Bagi saya, sijil halal memang sangat penting. Walaupun saya sendiri seorang Muslim, saya tetap mahu mendapatkan pensijilan halal supaya pelanggan lebih yakin untuk menikmati makanan di restoran kami.
“Halal bukan sekadar makanan yang dihidangkan, tetapi turut melibatkan bahan mentah, proses penyediaan dan aspek kebersihan.
“Kami mahu memastikan setiap hidangan bukan sahaja halal, malah bersih dan baik untuk pelanggan, selaras dengan konsep halalan toyyiban,” ujarnya.
Tambah Ashhry, proses mendapatkan pensijilan tersebut bukan sesuatu yang mudah memandangkan restorannya menawarkan hampir 300 pilihan menu termasuk makanan utama, minuman dan pencuci mulut.

Setiap bahan perlu disemak secara terperinci, selain pihak restoran perlu menyediakan pelbagai dokumen sokongan daripada pembekal.
“Memang banyak perkara yang perlu diteliti, tetapi Alhamdulillah, segala usaha dan komitmen itu akhirnya membuahkan hasil,” jelasnya.
Sementara itu, sempena ulang tahun kelahirannya pada 21 Oktober ini, Ashhry turut merancang memberikan potongan harga sebanyak 50 peratus bagi makanan, minuman dan manisan di kedua-dua cawangan restorannya.
Dalam perkembangan lain, Ashhry tidak menolak kemungkinan mengembangkan perniagaannya ke Kuala Lumpur dalam tempoh dua tahun akan datang.


Bagaimanapun, dia mahu memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada pengukuhan operasi dua cawangan sedia ada, selain merancang pembangunan dapur berpusat bagi memperluaskan perkhidmatan katering.
Untuk rekod, Ashhry membuka cawangan kedua Ashhryshoshedap di Tanjung Puteri, Johor Bahru pada Julai lalu.
