Sekilas
- Panda Tata, jenama makanan segera dari China, membuka cawangan pertama di NU Sentral, Kuala Lumpur dengan konsep roti burger buatan tangan yang dibakar segar dalam masa tiga minit.
- Menu mereka menampilkan gabungan rasa Asia seperti burger daging satay, keju kari, dan ayam sos kelapa, dengan harga burger ala carte bermula RM13 hingga RM15.
- Restoran ini beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam dan sedang dalam proses memohon pensijilan halal sambil merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di Malaysia.
Penggemar burger kini mempunyai satu lagi pilihan untuk mencuba sesuatu yang berbeza apabila jenama makanan segera dari China, Panda Tata membuka cawangan pertamanya di Malaysia.
Bertempat di NU Sentral, Kuala Lumpur, jenama yang berasal dari Guangzhou itu tampil dengan keunikan roti burger buatan tangan yang diuli dan dibakar segar di premis.
Menariknya, setiap roti hanya mengambil masa kira-kira tiga minit untuk dibakar, malah menurut pihak restoran, roti yang sudah melebihi 30 minit selepas dibakar tidak lagi digunakan untuk hidangan pelanggan.

Pengurus Operasi Panda Tata, Daniel Leng berkata, konsep ‘Freshly Baked Chewy Bun’ diperkenalkan bagi memberikan pengalaman menikmati burger dengan tekstur roti yang lembut dan kenyal.
“Keistimewaan utama kami ialah burger buatan tangan. Pelanggan boleh melihat proses penyediaan doh sehingga roti selesai dibakar dalam masa tiga minit tiga saat,” katanya.
Menerusi konsep dapur terbuka, pelanggan juga berpeluang menyaksikan sendiri proses penyediaan roti sebelum burger dihidangkan.
Bukan sekadar roti segar, Panda Tata turut mengetengahkan gabungan cita rasa Asia menerusi pilihan menu seperti burger daging berperisa satay, burger keju kari dan burger ayam dengan sos kelapa.
Restoran berkenaan menawarkan sembilan jenis burger utama termasuk pilihan ayam, ikan dan udang, selain kira-kira 10 jenis snek.

Bagi mereka yang ingin mencuba, harga burger secara ala carte bermula sekitar RM13 hingga RM15, manakala hidangan set ditawarkan pada harga RM18 hingga RM25, bergantung pada pilihan.
Pelanggan turut boleh menikmati kemudahan minuman ringan isi semula tanpa had.
Menurut Daniel, Panda Tata yang mempunyai lebih 400 cawangan di China memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama pengembangannya ke luar negara.
Dalam pada itu, pihak restoran sedang membuat persiapan untuk memohon pensijilan halal, dengan Daniel memaklumkan bahawa bahan mentah dan produk yang digunakan diperoleh daripada pembekal tempatan yang mempunyai sijil halal sah.
Panda Tata turut merancang membuka lebih banyak cawangan di Malaysia, namun buat masa ini memberi tumpuan kepada operasi restoran pertamanya.
Bagi yang berminat mencuba, Panda Tata terletak di Aras Concourse, NU Sentral, Brickfields, Kuala Lumpur dan beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.