Tiga cita rasa ikonik Malaysia iaitu Teh Tarik, Onde Onde dan Sirap Bandung Laici kini diberi nafas baharu menerusi rangkaian produk tempatan yang bukan sahaja menyasarkan pengguna dalam negara, malah bakal dipasarkan di lebih 20,000 premis 7-Eleven di Thailand.
Produk berkenaan diperkenalkan oleh NIMS International Group Sdn. Bhd. menerusi koleksi NIMS Chocotub® Taste of Malaysia, yang diinspirasikan daripada cita rasa kegemaran rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, setiap perisa yang diperkenalkan membawa identiti tersendiri selain menjadi medium memperkenalkan budaya Malaysia kepada pengguna di peringkat antarabangsa.
"Melalui NIMS Chocotub® Taste of Malaysia, NIMS berharap dapat memperkenalkan keunikan rasa Malaysia kepada pengguna global serta menjadikan produk tempatan sebagai salah satu medium untuk membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.
"Kempen NIMS BELI & MENANG 2026 pula dilaksanakan bagi meraikan pengguna yang sentiasa menyokong jenama ini bermula 8 Ogos hingga 8 November depan. Kempen ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih daripada RM150,000 termasuk hadiah utama sebuah Kereta Proton e.MAS serta pelbagai hadiah menarik lain yang akan diumumkan sepanjang tempoh kempen," katanya.

Selain memperkenalkan produk baharu, syarikat itu turut melancarkan kempen NIMS BELI & MENANG 2026 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM150,000, termasuk sebuah Proton e.MAS sebagai hadiah utama.
Pengguna hanya perlu membeli mana-mana produk keluaran NIMS untuk melayakkan diri menyertai kempen yang berlangsung sehingga 8 November depan menerusi platform e dagang, pasar raya dan rangkaian ejen rasmi di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Tengku Norhanim berkata makanan mempunyai keupayaan untuk membawa identiti sesebuah negara ke mata dunia.
"Sebagai sebuah jenama tempatan, kami percaya bahawa makanan mempunyai keupayaan untuk memperkenalkan identiti dan budaya sesebuah negara kepada dunia.
"Melalui NIMS Chocotub® Taste of Malaysia, kami bukan sahaja memperkenalkan produk baharu, malah berhasrat untuk membawa kisah Malaysia kepada pengguna antarabangsa, terutamanya inovasi makanan yang diinspirasikan daripada cita rasa tempatan.
"Ia juga selaras dengan aspirasi untuk memperkukuhkan kedudukan produk Malaysia di pasaran global melalui pembangunan produk bernilai tambah yang mempunyai identiti Malaysia yang tersendiri.
"NIMS Chocotub® Taste of Malaysia merupakan sebuah penghormatan kepada rasa yang dekat di hati rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa produk tempatan mempunyai potensi yang besar untuk diketengahkan ke pasaran antarabangsa melalui inovasi yang mampu menghubungkan budaya, nostalgia dan pengalaman pengguna.
"Kami berharap suatu hari nanti apabila dunia menikmati produk ini, mereka akan mengenali dan merasai keunikan Malaysia melalui setiap produk yang kami hasilkan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Tengku Norhanim mendedahkan syarikat itu berjaya memeterai kerjasama selama dua tahun dengan CP ALL Thailand, sekali gus membuka laluan untuk produk keluarannya dipasarkan di lebih 20,000 premis 7-Eleven di negara berkenaan.
Menurutnya, usaha menembusi pasaran Thailand bukan sesuatu yang berlaku dalam tempoh singkat kerana proses tersebut telah bermula sejak 2021.
"Produk kami akan diedarkan di lebih 20,000 premis serbaneka 7-Eleven di Thailand. Bukan satu proses mudah untuk tembus ke sana. Ia bergerak sejak dari 2021 lagi. Insya-Allah flag off ke Thailand ini akan dilakukan tidak lama lagi di kilang kami di Meru, Klang.
"Saya juga ingin melihat lebih banyak produk Malaysia memenuhi kontena yang akan berlayar ke seluruh dunia," katanya.
Majlis pelancaran turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Mansor Shah Wahid, selain dimeriahkan dengan kehadiran rakan usahawan, pempengaruh serta persembahan sketsa bertemakan Satu Malaysia yang dibintangi Man Raja Lawak, Mamak Putih dan Ilham Abata.

Antara pempengaruh yang hadir ialah Syafiqah Melvin, Alana Dunsmore, Abbas Mahmood, Muhammad Irsyad Tarudin, Nadia Azlan, Kah Pei dan Nurin Alisa.
Untuk rekod, produk keluaran NIMS kini telah berjaya menembusi lebih 27 negara, sekali gus memperkukuhkan komitmen syarikat dalam membawa inovasi makanan tempatan ke pasaran antarabangsa.
