Sekilas
- Muara Arts, galeri seni moden dan kontemporari akan dibuka di Medan Pasar, Kuala Lumpur pada 1 November 2026 sebagai usaha menghidupkan semula kawasan bersejarah itu.
- Galeri ini menggunakan enam bangunan Art Deco berusia hampir 100 tahun dan akan menampilkan pameran sulung dengan karya lebih 40 seniman dari 11 negara Asia Tenggara.
- Selain galeri seni, Muara Arts juga merancang pusat seni persembahan yang dijangka siap pada 2029, dengan tujuan menjadikan seni lebih mudah diakses oleh masyarakat umum.
Kuala Lumpur bakal menerima sebuah ruang seni baharu, Muara Arts, yang memberi tumpuan kepada seni moden dan kontemporari Malaysia serta Asia Tenggara dan dijangka dibuka kepada umum pada 1 November 2026.
Muara Arts terletak di Medan Pasar yang merupakan kawasan bersejarah di Kuala Lumpur yang berada di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang.
Untuk pengetahuan anda, Muara Arts diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghidupkan semula kawasan tersebut sebagai hab kebudayaan dan seni.
Melalui projek ini, kawasan berkenaan bakal melalui proses revitalisasi yang lebih besar dengan kewujudan galeri seni, teater, acara luar, kafe, restoran, kedai dan pelbagai kemudahan kebudayaan lain.
Inisiatif ini diasaskan oleh Shanthi Kandiah dan Brahmal Vasudevan menerusi Creador Foundation, dengan Lydia Yee, bekas Ketua Kurator Whitechapel Gallery di London, dilantik sebagai Consultant Artistic Director.
Bukan sekadar sebuah galeri seni, Muara Arts turut menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan sebuah pusat seni persembahan yang dijangka dibuka pada 2029.
Pusat berkenaan bakal dilengkapi dengan auditorium prosenium dengan kapasiti 345 tempat duduk, ruang black box yang mampu menampung sehingga 190 orang, galeri seni dua tingkat serta ruang latihan.
Ini empat pekara penting yang anda perlu tahu mengenai Muara Arts:
Enam bangunan Art Deco berusia hampir 100 tahun diubah suai
Galeri Muara Arts menggunakan semula enam buah rumah kedai berkonsep Art Deco yang dibina sekitar tahun 1930-an.
Ruang tersebut mempunyai keluasan kira-kira 20,000 kaki persegi dan direka bentuk dengan mengekalkan ciri sejarah bangunan, sambil dilengkapi kemudahan bertaraf muzium.
Reka bentuk galeri dikendalikan oleh Dr Tan LM Architect dan Sean Carpenter dari Linear Vista.
Bangunan di bahagian barat Medan Pasar itu pada asalnya digunakan oleh pedagang tradisional pada awal abad ke-20 sebelum kemudiannya digantikan dengan bank dan institusi kewangan sekitar tahun 1960-an.
Kini, bangunan yang pernah menjadi sebahagian daripada pusat aktiviti ekonomi Kuala Lumpur itu diberi nafas baharu sebagai ruang untuk aktiviti seni dan kebudayaan.
Pameran sulung tampilkan karya lebih 40 seniman
Sempena pembukaan, Muara Arts akan menganjurkan pameran sulung berjudul A-Z of Southeast Asian Art: A Critical Dictionary.
Pameran yang berlangsung dari 1 November 2026 hingga 4 April 2027 itu akan menghimpunkan karya lebih 40 seniman dari rantau Asia Tenggara.
Antara karya yang bakal dipamerkan termasuk lukisan, arca, tekstil, instalasi, video dan karya atas kertas.
Pameran tersebut mengambil inspirasi daripada karya seni generatif oleh seniman Singapura, Ho Tzu Nyen, berjudul The Critical Dictionary of Southeast Asia, yang dimulakan pada 2017 dan masih berlangsung.
Setiap karya dalam pameran berkenaan akan berkait dengan istilah yang mempunyai hubungan dengan budaya, ekologi, geografi, sejarah dan politik rantau Asia Tenggara.
Himpunkan seniman dari 11 negara
Pameran sulung Muara Arts turut memperlihatkan kepelbagaian seni dari rantau ini apabila menampilkan seniman dari 11 negara Asia Tenggara.
Antara negara yang terlibat ialah Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.
Antara nama seniman yang disenaraikan termasuk Pacita Abad, Pio Abad, Frances Wadsworth Jones, Isabel dan Alfredo Aquilizan, Izat Arif, Martha Atienza, Christine Ay Tjoe, Nadiah Bamadhaj, Sharon Chin, Mayyu Ali, Tiffany Chung, Fyerool Darma, Ho Tzu Nyen, Yee I-Lann dan ramai lagi.
Secara keseluruhan, pameran ini bertujuan mengetengahkan pelbagai perspektif mengenai rantau Asia Tenggara dan bagaimana masyarakatnya memahami, mempersoalkan serta membayangkan masa depan rantau tersebut.
Tiket galeri Muara Arts kini dijual
Muara Arts turut menekankan usaha menjadikan seni lebih mudah diakses oleh masyarakat umum.
Galeri tersebut terbuka kepada pengunjung daripada pelbagai latar belakang tanpa memerlukan pengetahuan khusus mengenai seni.
Bagi pameran sulung, tiket kemasukan ditawarkan pada harga RM25 untuk dewasa ASEAN dan RM50 untuk dewasa bukan ASEAN.
Tiket konsesi pula berharga RM12 untuk pengunjung ASEAN dan RM20 untuk bukan ASEAN, manakala kanak-kanak berusia bawah 12 tahun boleh masuk secara percuma.
Dengan pembukaan Muara Arts pada 1 November 2026, Medan Pasar dijangka menjadi antara lokasi baharu untuk masyarakat menikmati seni, budaya dan aktiviti kreatif di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Muara Arts bukan sahaja membawa karya seni dari Malaysia dan Asia Tenggara ke satu ruang, malah meletakkan Medan Pasar sebagai titik pertemuan baharu antara seni, sejarah, masyarakat dan idea dari rantau ini.
Nak dapatkan tiket atau ketahui lebih lanjut mengenai acara ini?
Layari laman web rasmi mereka untuk pembelian tiket dan jangan lupa ikuti Instagram rasmi bagi mendapatkan informasi serta perkembangan terkini.