Skip to main content

Viral

Haliza Maysuri Sasar Jualan RM10 Juta Bawal Exclusive Di Pahang, Butik ByQiss Buka Jalan! - "Pernah Ada Pembeli Tudung RM50,000..."

byqiss

Jenama tudung mewah tersohor, Bawal Exclusive, meletakkan sasaran berani untuk mencatat jualan mencecah RM10 juta di negeri Pahang menjelang sambutan Aidilfitri tahun hadapan.

Pengasasnya, Haliza Maysuri, berkata sasaran itu diyakini mampu dicapai dengan pelancaran rasmi butik authorised reseller baharu, ByQiss, yang kini beroperasi di lokasi strategik di Kuantan.

Advertisement

“Pahang kini muncul sebagai antara pasaran paling rancak untuk Bawal Exclusive. Dengan pembukaan butik ByQiss yang lebih selesa, eksklusif dan teratur, saya yakin kami boleh capai jualan RM10 juta di negeri ini menjelang Aidilfitri,” katanya kepada Gempak.

Menurut Haliza, sambutan luar biasa daripada pelanggan Pahang sebelum ini membuktikan potensi besar pasaran di negeri itu.

Malah, sehelai tudung keluaran Bawal Exclusive yang dijual di Kuantan pernah mencipta sejarah apabila dibeli pada harga RM50,000, menjadikannya antara pembelian tertinggi dunia untuk kategori tudung mewah.

“Pembeli tersebut merupakan seorang usahawan dari Pahang. Ini menunjukkan kuasa beli dan kesetiaan pelanggan di sini sangat tinggi. Mereka sanggup berbelanja kerana yakin dengan kualiti dan nilai eksklusif Bawal Exclusive,” katanya.

Tambah Haliza lagi, setiap authorised reseller seperti ByQiss diberikan keistimewaan menghasilkan rekaan sendiri bagi mengekalkan keunikan setiap butik di bawah rangkaian Bawal Exclusive.

“Kami menitikberatkan eksklusiviti setiap reseller. Mereka boleh cipta rekaan sendiri dan walaupun ini kali pertama ByQiss melancarkan koleksi khas, sambutannya amat luar biasa,” ujarnya.

Pengasas butik ByQiss by Bawal Exclusive Pahang, Datin Hamizan Puteh, memanjatkan rasa syukur apabila pelancaran rasmi butiknya mendapat perhatian ramai pelanggan dan peminat tudung Bawal Exclusive.

“Satu perkara yang sangat baik apabila kami rasmikan butik ini ialah ia hadir atas permintaan pelanggan sendiri. Lokasinya strategik dan menawarkan lebih banyak pilihan untuk pelanggan setia Bawal Exclusive,” katanya.

Pada masa sama, Hamizan turut memperkenalkan koleksi mewah Helaian ByQiss, bernilai RM990, yang dilancarkan ketika berada di Osaka, Jepun.

“Rekaan saya diilhamkan daripada konsep Yin & Yang iaitu tentang keseimbangan antara baik dan buruk. Sepanjang hampir 10 tahun saya berada dalam industri, pelbagai pengalaman saya lalui dan diadaptasikan dalam rekaan tudung,” jelasnya.

Koleksi kedua, Bawal Mizan, pula dinamakan sempena namanya sendiri sebagai simbol kekuatan dan kestabilan diri.

“Empat garisan pada rekaan ini menggambarkan kehidupan yang tidak statik; ada turun naik dan akhirnya kembali stabil. Ia rekaan yang sangat peribadi bagi saya,” ujarnya.

 

 

 

 

View this post on Instagram

 

 

 

 

A post shared by AUTHORIZED RESELLER BAWAL EXCLUSIVE PAHANG (@byqiss.bawalexclusive)

 

Sementara itu, selepas 27 tahun menerajui empayar Bawal Exclusive, Haliza kini menumpukan kepada legasi kebajikan dan tanggungjawab sosial melalui penubuhan yayasan yang bakal diteruskan oleh anak-anaknya.

“Saya mahu empayar ini bukan sekadar berasaskan keuntungan, tetapi juga manfaat kepada masyarakat. Sebahagian keuntungan disalurkan melalui zakat dan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Lagi banyak kita berniaga, lagi banyak pahala yang mengalir,” katanya.

Haliza turut menegaskan, pelanggan Bawal Exclusive membeli bukan kerana diskaun, tetapi kerana nilai, kualiti dan kepercayaan terhadap jenama yang dibina selama puluhan tahun.

“Saya antara pembayar zakat terbesar di Selangor. Sebahagian keuntungan perniagaan disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Pelanggan Bawal Exclusive adalah golongan berada, mereka membeli kerana mampu, bukan kerana diskaun. 

"Jadi, saya berharap mereka juga nampak bagaimana sebahagian keuntungan ini digunakan untuk tujuan kebajikan. Lagi banyak kita berniaga, lagi banyak zakat yang dapat kita bayar. Itu yang paling penting.”,” tambahnya.

Must-Watch Video

Advertisement