Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), melalui cabang tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) ILTIZAM, meneruskan usaha melahirkan graduan Bumiputera yang lebih berdaya saing melalui ILTIZAM Professional Development Programme (ILTIZAM PDP).
Sejak diperkenalkan pada 2012, program ini telah melahirkan seramai 732 alumni, dengan purata 90 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat program, kebanyakannya dalam bidang yang selaras dengan minat dan kelayakan mereka.
Program ini diwujudkan bagi membantu graduan muda, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif. Ramai dalam kalangan graduan ini berdepan cabaran kerana kurangnya akses kepada bimbingan, jaringan profesional dan pendedahan industri, yang merupakan elemen penting untuk membina kerjaya.
ILTIZAM PDP menawarkan pengalaman penempatan kerja bergaji selama 12 bulan bersama syarikat-syarikat bereputasi di mana peserta bekerja sebagai Graduate Associate dengan gaji bulanan sebanyak RM2,500. Peserta turut diberi latihan tambahan merangkumi kemahiran insaniah, komunikasi, penjenamaan diri dan kemahiran digital.
Latihan juga disesuaikan dengan perkembangan semasa termasuk pendedahan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) agar graduan lebih bersedia menghadapi keperluan industri terkini.
Hizwani Hassan, Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, berkata, “ILTIZAM PDP diperkenalkan bagi menangani isu pengangguran graduan, terutamanya dalam kalangan belia Bumiputera daripada golongan terpinggir. Ramai dalam kalangan peserta merupakan generasi pertama dalam keluarga yang berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah, namun masih kekurangan jaringan profesional untuk membantu mereka menapak ke dunia pekerjaan.”
Beliau menambah, “Dengan jumlah alumni yang kini mencecah 732 orang, sebuah komuniti dan jaringan telah dibina untuk memastikan PDP terus memberi sokongan berterusan kepada graduan. Alumni ini bukan sahaja mencapai kejayaan dalam kerjaya masing-masing, malah kembali membimbing peserta baharu, dan carian ringkas mengenai program ini akan memaparkan pelbagai testimoni positif daripada alumni terdahulu.
Inilah nilai sebenar PDP, membina ekosistem yang memperkasa graduan dengan latihan, pengalaman dan keyakinan untuk terus berkembang maju dalam dunia profesional.” Sebagai cabang CSR Ekuinas, ILTIZAM memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu Keusahawanan, Pendidikan dan Komuniti.
PDP, sebagai tonggak utama di bawah teras Pendidikan, menjadi bukti komitmen Ekuinas dalam memastikan golongan Bumiputera, terutamanya yang terpinggir, mendapat peluang untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Program ini juga selari dengan aspirasi GEAR-uP Kerajaan Malaysia, khususnya di bawah tonggak Raise the Floor yang menekankan pembangunan kemahiran asas bagi memastikan graduan bersedia menghadapi keperluan industri masa kini.
Kriteria Permohonan
• Graduan Bumiputera dari kolej atau universiti tempatan
• Berumur 30 tahun ke bawah
• Masih tidak bekerja sehingga tarikh tutup permohonan ILTIZAM PDP
• Pendapatan isi rumah kasar kurang daripada RM5,000
• Bermotivasi tinggi dan bersikap positif
Permohonan untuk ILTIZAM PDP 2026 dibuka sehingga 30 September 2025.
Graduan Bumiputera yang layak digalakkan memohon dan menggunakan peluang ini sebagai landasan untuk mengukuhkan kerjaya profesional mereka. Untuk maklumat lanjut dan untuk memohon, sila layari: https://iltizampdp.ekuinas.com.my/