Sekilas
- Miss Chipao Malaysia 2026 di Sungei Wang Plaza mengetengahkan keindahan busana tradisional dan moden Cheongsam sambil meraikan kepelbagaian budaya Malaysia.
- Liao Zimei dinobatkan juara dan membawa pulang Most Popular Award, manakala peserta lain memenangi pelbagai anugerah seperti Best Catwalk dan Best Photogenic.
- Acara ini turut menampilkan demonstrasi kebudayaan, persembahan muzik tradisional, dan tarian berbilang kaum sebagai sokongan kepada Visit Malaysia 2026.
Keindahan busana tradisional Cheongsam menjadi tumpuan menerusi penganjuran Miss Chipao Malaysia 2026 yang berlangsung di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur sempena Sambutan Pertengahan Musim Bunga dan Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Menghimpunkan peserta dari seluruh negara, pertandingan itu mengetengahkan keunikan Cheongsam atau Chipao menerusi sentuhan tradisional dan moden, selain menjadi platform meraikan kepelbagaian warisan budaya di Malaysia.

Pada pertandingan tersebut, Liao Zimei berjaya mencuri perhatian juri apabila dinobatkan sebagai juara Miss Chipao Malaysia 2026.
Kemenangannya bertambah manis apabila dia turut membawa pulang anugerah Most Popular Award.
Sementara itu, Lin Shichen meraih tempat kedua dan Best Catwalk Award, manakala Li Yimei menduduki tempat ketiga.
Zhang Xinci dan Zhuo Bing’er masing-masing berada di tempat keempat dan kelima.
Zhang Xinci turut menerima Best Photogenic Award, manakala Zhuo Bing’er memenangi Best Chipao Award.
Anugerah Best Perfect Physique Award pula menjadi milik Luo Jingling.

Bukan sekadar pertandingan kecantikan dan peragaan, penganjuran Miss Chipao Malaysia 2026 turut mengetengahkan hasil rekaan pereka tempatan menerusi busana Chipao moden dan tradisional yang diperagakan di pentas.
Pengunjung juga disajikan dengan pelbagai pengisian kebudayaan termasuk demonstrasi pembuatan kuih bulan tradisional, seni ukiran tanglung serta persembahan muzik tradisional Cina.

Elemen kepelbagaian budaya Malaysia turut diketengahkan menerusi persembahan tarian kebudayaan berbilang kaum.
Penganjuran berkenaan dalam masa sama menyokong usaha mempromosikan kepelbagaian budaya Malaysia kepada pelancong tempatan dan antarabangsa sempena VM2026.
Sungei Wang Plaza selaku rakan lokasi rasmi pula menyasarkan pusat beli-belah di tengah-tengah Bukit Bintang itu sebagai antara ruang pertukaran budaya sepanjang tahun penganjuran Visit Malaysia 2026.