Doktor perubatan dan penceramah kesihatan berpengalaman, Dr Afif Mohd Ridzwan, memberi peringatan keras kepada kaum lelaki yang gemar memakai seluar ketat kerana ia boleh mengundang pelbagai masalah serius terhadap alat sulit.
Menurutnya, suhu tubuh manusia secara normal adalah sekitar 37 darjah Celsius, manakala testis memerlukan suhu lebih rendah iaitu sekitar 35 darjah Celsius bagi memastikan kesuburan sperma.
Advertisement
“Apabila seseorang lelaki memakai seluar terlalu ketat hingga menyebabkan testis rapat dengan badan, suhu di kawasan itu akan meningkat dan menjadi sama dengan suhu tubuh. Itu bahaya. Akibatnya sperma boleh menjadi kurang subur dan berisiko membawa kepada masalah kemandulan.
“Selain itu, tekanan berlebihan akibat seluar ketat juga boleh menjejaskan saraf serta salur darah di zakar, sekali gus berpotensi menyebabkan kerosakan jangka panjang,” jelasnya menerusi perkongsian di TikTok.
Dr Afif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain turut menekankan bahawa langkah pencegahan jauh lebih baik daripada merawat apabila masalah sudah berlaku.
“Kalau hendak tidur, elakkan pakai seluar ketat. Sebaiknya gunakan kain sarung. Seluar dalam ketat di siang hari tidak mengapa, asalkan tidak dipakai terlalu lama. Itu penting supaya ada pengudaraan dan peluh cepat kering untuk elak penyakit.
“Pilihan paling baik adalah pakai seluar longgar atau boxer. Kebaikannya banyak — udara mencukupi, testis tidak tertekan dan aliran darah lebih lancar. Apabila alat sulit dijaga dengan betul, insya-Allah kesihatan dalaman pun terjamin,” tambahnya lagi.