Skip to main content

Gaya Hidup

L’Oréal Malaysia Raikan 30 Tahun, Sumbang Lebih 21,000 Peluang Pekerjaan

loreal

L’Oréal Groupe meraikan ulang tahunnya yang ke-30 di Malaysia sekali gus menandakan tiga dekad syarikat kecantikan global itu memperkenalkan produk, perkhidmatan dan inovasi kepada pengguna tempatan.

Pengarah Urusan L’Oréal Malaysia, Tomas Hruska berkata, perjalanan 30 tahun di Malaysia merupakan detik membanggakan kerana misi utama mereka adalah membantu individu berasa yakin dan dihargai.

Advertisement

“Kecantikan bukan sekadar produk semata-mata. Ia melambangkan keyakinan, jati diri dan kesejahteraan.

Matlamat kami ringkas – membawakan produk, perkhidmatan dan inovasi kecantikan terbaik buat warga Malaysia. L’Oréal akan terus mendengar pengguna serta menawarkan penyelesaian yang mampu mencetus perubahan,” katanya.

Menurutnya, L’Oréal kini memiliki portfolio 30 jenama popular di Malaysia yang merangkumi produk penjagaan kulit, rambut, solekan dan kecantikan digital.

Sumbangan besar terhadap ekonomi 

Sementara itu, Laporan Impak Sosioekonomi oleh firma penyelidikan Asterès mendedahkan kehadiran L’Oréal di Malaysia memberi kesan besar terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Berdasarkan laporan itu, setiap satu pekerjaan di L’Oréal berjaya menjana 36.6 peluang pekerjaan tambahan dalam rantaian ekonomi tempatan. Secara keseluruhan, syarikat tersebut menyumbang kepada 21,609 peluang pekerjaan di seluruh negara termasuk 590 pekerja tetap.

Selain itu, lebih 1,600 individu menerima manfaat dalam bentuk kemahiran, latihan dan peluang kerjaya melalui pelbagai inisiatif sosial L’Oréal sepanjang tahun lalu.

Pasaran bernilai RM13.6 bilion 

Pasaran kecantikan Malaysia kini bernilai RM13.6 bilion dan dianggap antara industri paling pesat berkembang. Permintaan didorong pengguna muda serta celik digital yang menggemari trend kecantikan terkini seperti K-beauty, penjagaan kulit dan rutin penjagaan diri.

Sejak ditubuhkan pada 1995, L’Oréal Malaysia telah berkembang menjadi syarikat kecantikan nombor satu di negara ini dengan capaian lebih 6.7 juta pengguna. Kini, ia mempunyai rangkaian luas melibatkan 47,508 outlet runcit, 1,300 salon, 2,399 farmasi serta lapan platform e-dagang, disokong pusat pengedaran strategik di Shah Alam.

Tambah Hruska, kejayaan L’Oréal di Malaysia bukan sahaja didorong oleh produk, malah sumbangan sosial dan pembangunan bakat tempatan.

“Kami mahu memastikan kecantikan membawa impak positif – bukan sekadar pada penampilan, tetapi juga kehidupan, kerjaya dan komuniti,” ujarnya.

Must-Watch Video