Sekilas
- Aleeya Avenys, usahawan dan pempengaruh terkenal, kini fokus dalam perniagaan barang kemas di bawah jenama Avenys & Co selepas pengalaman hidup yang mencabar.
- Beliau juga mengembangkan perniagaan penjagaan kulit yang sudah boleh didapati di banyak premis seperti Guardian dan Aeon Wellness serta aktif berjualan melalui siaran langsung di TikTok dan Facebook.
- Aleeya berkongsi cabaran digodam akaun Instagram dengan lebih 900,000 pengikut dan masalah akaun TikTok yang diharamkan, menyebabkan beliau lebih aktif di Facebook dan menggunakan hos siaran langsung untuk keselamatan.
Jika disingkap kembali perjalanan hidup usahawan dan pempengaruh terkenal Aleeya Avenys, ia bukanlah satu laluan yang mudah.
Ibu kepada tiga anak itu yang dahulunya dikenali sebagai Aleeya Zailan mengakui pengalaman hidup susah serta membesar dalam keluarga yang berpecah belah menjadi pelajaran paling berharga dalam membentuk siapa dirinya hari ini.
Tidak lagi menoleh ke belakang, wanita kecil molek berkulit putih gebu itu kini melebarkan sayap perniagaan dengan menceburi bidang barang kemas di bawah jenama Avenys & Co. Sebelum ini, beliau sudah mencipta nama dalam perniagaan sambal, produk penjagaan kulit dan suplemen.
Menurut Aleeya, penglibatannya dalam perniagaan berlian dan batu permata bermula tanpa perancangan khusus.
“Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi berlian dan permata umpama teman akrab golongan wanita. Macam lagu mendiang Marilyn Monroe berjudul Diamonds Are a Girl's Best Friend.
“Dalam erti kata lain, saya sudah mula ‘tersuka’ dan ‘terjatuh hati’ dengan barang kemas terutama berlian. Dari membeli dan mencari berlian terbaik untuk diri sendiri, akhirnya jadi geram sampai terbeli dalam kuantiti banyak.
“Kemudian suka pula batu permata. Lama-kelamaan, asyik fikir dan menikmati keindahan barang kemas, tercetus rasa serta keputusan untuk menceburi perniagaan ini. Lebih istimewa saya reka sendiri barang kemas yang diingini,” katanya teruja.

Isteri kepada Azri Aziz yang lebih dikenali sebagai Big Boss itu berkata, fokus utamanya kini lebih tertumpu kepada perniagaan barang kemas.
“Selebihnya (20 peratus) perhatian itu tetap diberikan untuk perniagaan penjagaan kulit (jenama Avenys) yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu.
“Tambahan lagi, perniagaan penjagaan kulit itu sudah ibarat boleh lepas tangan kerana sudah boleh dibeli di banyak premis perniagaan termasuk Guardian dan Aeon Wellness.
“Saya pun ada hos siaran langsung di TikTok yang aktif menjual. Syukur juga jenama kebanggaan saya ini sudah dikenali, dipercayai dan mempunyai kelompok pelanggan serta peminat tegar,” katanya.
Dalam masa sama, Aleeya menjelaskan hasratnya untuk mendidik pelanggan agar lebih bijak ketika membeli barang kemas.
“Memang kita selalu dengar ramai yang kena tipu sebab tak tahu selok belok barang kemas. Ada yang beriya -iya nak beli berlian dan permata tapi hujung - hujung batu dicari tak berkilau selain palsu.
“Jadi untuk permulaan barang kemas saya ini dibuat secara konsep ‘made to order’ dan boleh ditempah menerusi laman sesawang www.avenys.com,” katanya.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang dikecapi, Aleeya tidak menafikan rasa sedih apabila akaun Instagram peribadinya yang mempunyai lebih 900,000 pengikut digodam sebelum ini.
“Sedih memang sedih kerana IG itu banyak kenangan. Termasuklah mengumpul ramai peminat dan pelanggan. Menerusi IG itu juga saya perlahan demi perlahan membina jenama, meluaskan empayar diri serta pengaruh perniagaan.
“Saya ada juga usaha untuk mendapatkan akaun IG itu kembali. Tapi macam agak sukar. Akhirnya, kena reda saja. Ada juga buat akaun IG baharu, tapi berjaya kumpul sedikit saja pengikut sekitar lebih 2,000.
“Saya kini banyak guna medium Facebook dan TikTok saja. Tapi kebelakangan ini lebih kepada Facebook (Avenys) termasuk buat ‘live’ di medium berkenaan kerana banyak sangat kekangan di TikTok. TikTok perniagaan saya sendiri sudah empat kali diharamkan.
“Natijahnya sampai wang syarikat saya di bawah akaun TikTok itu pun lesap. Sudah banyak kali buat aduan dengan pihak TikTok tapi semuanya berakhir dengan kehampaaan,” katanya.
Aleeya turut berkongsi pernah memperlahankan aktiviti siaran langsung di media sosial kerana bimbang dengan penyakit ain.
“Sebab itu juga juga saya guna khidmat hos siaran langsung. Kita tak pernah tahu apa yang ada dalam hati orang yang mungkin iri dan cemburu. Jadi saya ambil langkah berjaga-jaga untuk tidak terlalu menonjol.
“Cuma kebelakangan ini saya mula rasa senangat balik nak aktif di media sosial termasuklah buat vlog untuk dimuat naik di TikTok dan platform media sosial lain.
“Macam baru-baru ini saya ada buat vlog semasa bercuti di benua Antartika selama tiga minggu bersama suami. Percutian mewah itu pun mencuri perhatian netizen apabila ada yang menyamakan kos ke sana macam pakej VIP menunaikan haji. Macam - macam lagilah telahan netizen, tapi saya sudah Imun,” katanya.