Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Gegar Vaganza 11

Gegar Vaganza 11: Datuk Ramli M.S Akui Kedekut Bagi Markah - "Jika Mereka Berikan..."

Asyraf Roslan 25/11/2024 | 02:55 MYT

Juri tetap Gegar Vaganza 11 (GV11), Datuk Ramli M.S menyatakan kesemua peserta telah melakukan yang terbaik untuk minggu pengenalan.

Meskipun begitu, Ramli M.S atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ram berkata kesemua barisan juri berhati-hati dalam memberi markah yang terlalu tinggi kepada peserta pada minggu ini.

"Markah yang kita bagi itu kita pun berhati-hati.

"Kita tak nak bagi yang paling tinggi itu sehingga 90,80 sebab kita kedekut. Jika mereka berikan persembahan yang betul-betul memukau maka mereka akan dapat markah itu," katanya.

Pada masa sama, Tok Ram turut menjelaskan mengapa Reshmonu, Aurora Salwa dan Illa Sabry berada di tangga tiga terbawah.

Menurutnya, mereka bertiga sudah lakukan yang terbaik namun peserta lain memberikan lebih lagi dalam persembahan mereka.

"Tiada masalah langsung dengan persembahan Reshmonu, dia nyanyi dengan sangat elok. Tapi melodi kurang hanya kepada gimik. Sebab tu saya cakap saya menantikan dia nyanyi lagu orang, benar bukan mudah untuk nyanyi lagu rap tapi untuk nyanyi lagu bernada dan dapat feel lebih sukar.

"Lagi satu ini adalah lagu dia jadi kami mengukur dari kesukaran lagu tersebut seperti lagu Illa Sabry, dengan dia yang sudah 20 tahun tidak menyanyi maka teknik itu agak kurang.

"Sama seperti Aurora juga ada orang yang buat persembahan lebih baik pada malam ini," ujarnya kepada Gempak.

Sementara itu, Hetty Koes Endang yang juga juri GV 11 menganggap minggu ini adalah sebagai sesi suai kenal bersama semua peserta.

Menurutnya, semakin bertambah minggu pemarkahan yang akan diberikan kepada mereka mungkin lebih sukar.

"Secara peribadi saya tidak mengenali mereka, jadi minggu ini saya ibaratkan minggu suai kenal.

"Untuk minggu kedua, ketiga mungkin sudah ada perbezaan. Jadi komen daripada juri sekiranya pedas atau apa terima sahaja. Kerana kami disini bukan untuk mengajari namun adalah untuk berkongsi dengan anda semua sudah boleh menyanyi secara profesional," Kata Hetty.

Untuk rekod, Liza Aziz berjaya menduduki tangga pertama selepas menyampaikan lagu Bermula Cerita dengan Markah 77.60 peratus.

Manakala Resmonu, Aurora Salwa dan Illa Sabry masing-masing berada ditangga tiga terbawah kerana mendapat peratusan terendah.

Gegar Vaganza 11 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 12 minggu.

Kesemua peserta yang masih kekal diadili oleh juri tetap iaitu Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli M.S.

;