Gegar Vaganza 11
“Niat Kami Bukan Untuk Memalukan” - Datuk Syafinaz Selamat Jelaskan Tugas Juri Menilai & Beri Input
Juri tetap Gegar Vaganza 11, Datuk Syafinaz Selamat tidak menganggap komen diberikan kepada setiap bintang yang bertanding bertujuan untuk memalukan mereka.
Bukan tujuan memalukan tapi perbaiki mutu persembahan
Menurut Syafinaz, komen-komen diberikan itu adalah untuk memperbaiki mutu persembahan setiap bintang yang bertanding selain memberikan input berguna kepada mereka.
“Untuk mengatakan juri memalukan, saya tak tahulah, anda tengoklah komen saya selama ini pun, untuk setiap komen negatif yang saya beri, pasti ada positifnya untuk mereka perbaiki.
“Jadi pada saya itu adalah satu cara untuk mereka memperbaiki diri, saya selalu cakap, terpulang pada mereka untuk terima atau tidak.
“Kita hanya menilai persembahan dan memberi input kepada mereka. Terpulanglah kalau anda lebih suka terima komen netizen daripada kami yang duduk di kerusi juri.
“Tetapi niat kami bukanlah untuk memalukan dan ini adalah tugas kami yang duduk di atas kerusi juri tersebut,” jelasnya.
Syafinaz berkata demikian ketika ditemui usai konsert kelima GV11 bertempat di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.
Setiap individu berhak memberikan pendapat
Dalam pada itu, Syafinaz mengatakan setiap individu berhak meluahkan pendapat masing-masing namun tidak seharusnya memperlekehkan orang lain.
“Manusia ini macam-macam, kita tak boleh kontrol cara pemikiran mereka. Mungkin dia ada sebab lain yang disebaliknya kita tidak tahu.
“Terpulang apa yang mereka nak fikir, i’m giving you the reason, saya rasa masing-masing pun boleh berfikir.
“Artis-artis pun begitu ramai yang sudah bertanding dalam GV, saya rasa mereka sendiri pun boleh berfikir baik dan buruknya.
“Dan ramai juga artis di GV yang namanya kembali naik selepas keluar Gegar Vaganza, terpulanglah mana anda menilainya,” ujarnya.
Terdahulu, seorang penyanyi veteren menyuarakan pendapat dan mendakwa program nyanyian realiti seperti memalukan dan menjatuhkan kredibiliti artis yang bertanding.