"Ini Pentas Pertandingan Pertama & Terakhir Saya" - Fazley Akui Hanya Sekadar Penyanyi Rakaman?
Bintang Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) Datuk Fazley Yaakob akui dia bukanlah seorang penyanyi yang hebat untuk beraksi di pentas besar seperti GV.
Menurut Fazley atau mahu dikenali sebagai Abang Asmara ini, dia dahulunya merupakan artis studio rakaman dan tidak kerap membuat persembahan di pentas.
"Tempat saya adalah studio rakaman. Saya hanya penyanyi rakaman yang boleh perbaiki nyanyian di dalam studio berkali-kali tanpa penjurian sehingga nyanyian saya sempurna sebelum dijadikan lagu di radio.
"Penyanyi pertandingan pula adalah mereka yang ternyata begitu hebat dan menjadi kebiasaan menyanyi live tanpa kesilapan besar di hadapan para juri dan ribuan penonton," katanya.
Jelas Fazley, biarpun tersingkir pada minggu keempat GV8, dia tidak pernah sesekali 'tawar hati' atau patah semangat untuk terus giat dalam bidang nyanyian.
"Saya tahu pentas GV ni bukan untuk saya. Apabila dah masuk dan tengok latar belakang peserta yang bertanding, saya sedar mereka sangat bagus berbanding apa yang saya tampilkan.
"Berjaya bertahan sampai minggu keempat pun di luar jangkaan sebab saya jangka hanya di minggu pertama.
"Saya rasa ini pentas pertandingan yang pertama dan terakhir sebab saya buat ini pun untuk anak saya," katanya.
Fazley berkata demikian usai konsert minggu keempat GV8 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada malam Ahad.
Terdahulu, Fazley menjadi bintang Gegar Vaganza 8 (GV8) kedua tersingkir pada konsert keempat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Bertemakan Berdiri Romaku, Fazley yang menyanyikan lagu Mahligai Syahdu hanya mampu menerima markah 50% berbanding bintang lain.
BACA: Tamat Sudah Perjuangan Fazley, Abang Asmara Tersingkir Minggu Ke-4!