Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Gegar Vaganza 2021

Lebih 8 Tahun 'Lenyap' Dari Dunia Seni, Suki Low; "Ramai Fikir Saya Undur Diri Tapi Sebenarnya ..."

Hanafis Haris 15/11/2021 | 11:19 MYT

Penyanyi yang juga Bintang Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) Suki Low menafikan dia telah mengundurkan diri dalam dunia seni hiburan selepas dinobatkan sebagai juara dalam satu program realiti beberapa tahun lalu.

Hakikatnya menurut Suki, dia masih meneruskan kerjaya sebagai penyanyi, namun tidak aktif seperti dahulu.

“Memang ramai yang fikir saya undur diri dalam dunia seni. Mungkin sebab mereka lama tak nampak saya di televisyen atau buat persembahan besar.

“Tapi sebenarnya memang saya masih lagi menyanyi. Cuma tak aktif macam dulu, sebab saya now ada komitmen lain, tanggungjawab rumah tangga.

“Tambahan pula now saya dah jadi ibu,” katanya.

Menurut Suki, dia juga memilih untuk memberi tumpuan kepada keluarga bukan kerana permintaan suami, sebaliknya ia adalah kemahuannya sendiri.

“Saya tidak mahu terlepas melihat proses pembesaran anak-anak yang saya kira cukup pantas dan sayang untuk dilepaskan.

“Jadi saya sentiasa seronok dan bahagia menguruskan anak-anak, terutama ketika pandemik di mana sepanjang masa saya serta suami meluangkan masa bersama mereka di rumah,” katanya.

Sekadar info, Suki mendirikan rumah tangga selepas memilih seorang ahli perniagaan dan eksekutif muzik, Jeremy Chong sebagai suaminya pada 2012.

Hasil perkahwinan itu, Suki mempunyai tiga permata hati iaitu Ethan, 7, Eli, 7, dan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia 11 bulan.

Untuk rekod, program realiti paling dinanti-nantikan, Gegar Vaganza muncul kembali untuk musim kelapan.

Bakal membuka tirai menerusi tagline ‘Bintang Kembali Menyengat’, pentas berprestij Gegar Vaganza lapan (GV8) akan menjadi medan penentu bagi 13 pesaing utama.

Enam bintang solo lelaki yang akan memberi saingan sengit untuk musim ini ialah Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Aliff Aziz (Singapura).

Sementara itu, senarai penyanyi solo wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam GV8 ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).

Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek & Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.

Konsert mingguan ‘GV8’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November 2021.

BACA: Pertempuran Hebat 3 ‘Penjuru’, Ini Senarai 13 Bintang Gegar Vaganza 8!

#GegarVaganza #GV #GV8 #Suki
;