Gegar Vaganza 6

GV2019: "Sepatutnya Berduet Dengan Ziana Zain Atau Khadijah Ibrahim Tapi ..." - Kool Kecewa Tersungkur Minggu Keempat!

gempak
Amri Hassan
03/11/2019
19:36 MYT
Sponsor Banner
GV2019: "Sepatutnya Berduet Dengan Ziana Zain Atau Khadijah Ibrahim Tapi ..." - Kool Kecewa Tersungkur Minggu Keempat!
Kumpulan duo Kool akui terkilan dan kecewa apabila menjadi giliran ketiga tersingkir pada minggu keempat Gegar Vaganza 2019 (GV2019).
Namun jelas anggota Kool, Hairie dan Riot, mereka akur dengan keputusan juri dan mengakui sudah melakukan tugasan yang diberikan sehabis baik.
"Sudah tentu apabila masuk bertanding akan rasa kecewa dan terkilan apabila tersingkir tetapi kami sudah melakukan sehabis baik. Mungkin lagu yang kami nyanyikan kali ini kurang 'power'.
"Ini bukan lagu pilihan kami. Sepatutnya kami menyanyikan lagu Senja Nan Merah tetapi penyanyi undangan Ziana Zain tidak dapat memberikan komitmen kerana ada urusan lain.
"Manakala, pilihan kedua kami ialah lagu Ku Miliki Bayangmu berduet bersama ibu saudara saya sendiri Datuk Khadijah Ibrahim.
"Namun, hasrat itu tidak dapat dilaksanakan juga kerana beliau ada persembahan lain di Melaka pada waktu sama. Jadi, kami akur dengan keputusan yang diberikan," katanya kepada Gempak.
Kool yang mendapat kutipan markah terendah berbanding 10 bintang GV2019 lain iaitu 49 peratus harus akur dengan penyingkiran minggu ini selepas Ameer Sofazr dan Mazleela.
Pada konsert ketiga menerusi tema Haa Tepuk!, Kool menyanyikan lagu Siapa Dia Sebelum Daku bersama penyanyi undangan Farawahida. Lagu itu pernah dipopularkan oleh Royston Sta Maria & Francisca Peter.
Melihat daripada sudut positif, kata Kool pentas GV2019 membuka ruang dan meraih peminat baharu.
"Ini pengalaman kedua Kool menyertai pertandingan selepas Anugerah Juara Lagu beberapa puluh tahun dahulu dan GV2019 merupakan platform terbaik untuk menaikkan semula nama Kool.
"Kami tidak akan berputus asa dan Kool mesti diteruskan walaupun kini tinggal berdua," tambahnya.
Dalam pada itu, Kool bakal melancarkan single terbaharu mereka yang digubah semula daripada lagu lama Ingat menampilkan penyanyi rap wanita Zizi Kirana.
GV2019 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Dapatkan perkembangan terkini tentang GV2019 hanya di laman sosial rasmi Instagram @gegarvaganzaofficial atau Facebook Astro Gempak atau di laman web www.gempak.com/gegarvaganza.
GV2019 ditaja oleh pengeluar rangkaian susu segar dan produk tenusu Farm Fresh Malaysia.
GV2019 turut disokong oleh penaja bersama Powercat, Cuckoo dan Uphamol manakala syarikat telekomunikasi Digi pula menjadi telco rasmi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live