Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Hetty Koes Endang Juri Tetap GV6, Gantikan Datuk Khadijah Ibrahim... Ini Sebabnya!

Amri Hassan
26/09/2019 04:07 MYT
Penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang kembali menduduki kerusi juri tetap rancangan hiburan popular Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Menjelaskan perkara terbabit, kata Pengurus Saluran Astro Ria & Ria HD, Emarina Kamal, penukaran juri tetap dibuat bagi mengelakkan 'conflict of interest'.

"Salah seorang peserta GV6 iaitu Hairie dari Kumpulan Kool merupakan anak saudara kepada Datuk Khadijah.

"Jadi kita cuba mengelakkan bias pada kemudian hari," katanya pada sidang media pengumuman peserta GV6 di Theatre The Gardens Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sementara itu, Hetty turut berkongsi rasa teruja untuk kembali menjadi juri GV6.

"Terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya untuk terbabit sama dalam GV6 dan saya tak sabar untuk kembali ke Malaysia tidak lama lagi," kata Hetty menerusi sepotong rakaman video dari Indonesia.

Hetty pernah diundang sebagai juri tetap rancangan sama pada musim keempat sektiar tahun 2017.

Sepanjang bersiaran selama lima musim, trademark sampaikan salam Khadijah sangat sinonim hingga ramai yang ternanti-nanti pada setiap minggu.

GV6 masih mengekalkan hos Nabil Ahmad bergandingan bersama Jihan Muse dan Datuk Ramli MS sebagai Ketua Juri.

GV6 dibarisi enam penyanyi solo lelaki iaitu Sham Visa, Jatt, Roy, Ameer Sofazr, Hady Mirza dan Naqiu Boboy.

Wann, Mazleela, Feeza, Noorshila Ami dan Nurfatima pula mewakili peserta wanita GV6.

Turut serta dalam GV6 ialah dua peserta duo berkumpulan iaitu Kool dan One Nation Emcees.

GV6 akan bersiaran selama lapan minggu bermula 13 Oktober secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Ia akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104), Ria HB(123) dan Astro GO setiap Ahad pukul 9 malam.
#Datuk Khadijah Ibrahim #GV6 #Hetty Koes Endang
;