Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

"Ya Saya Pernah Bawa Grab, Jadi Mutawif & Jual Jeruk" - Hady Mirza

Amri Hassan
08/10/2019 07:20 MYT
Penyanyi kelahiran Singapura, Hady Mirza mengakui dia pernah melakukan pelbagai pekerjaan setelah tawar hati dengan dunia seni.

Jelas Hady, 39, menjadi pemandu aplikasi Grab, mutawif dan berniaga bersama isteri dan ibunya antara pekerjaan yang dilakukan sejak enam tahun lalu.

"Saya jenuh jadi artis, asyik menyanyi lagu minus one dan lagu sama tak berganjak jadi saya berhenti menyanyi dari tahun 2012 hingga 2018.

"Sepanjang tempoh itu saya melakukan pelbagai kerja, antaranya sebagai mutawif membantu ustaz membawa jemaah menunaikan umrah.

"Selepas itu saya memulakan bisnes bersama isteri dan ibu saya. Macam-maca saya jual antaranya ketika bulan Ramadan saya berniaga di bazar dengan menjual kuih raya, jeruk dan air katira misalnya.

"Adakalanya saya menyertai festival jualan di Singapura bersama selebriti lain.

"Jadi, saya akan menyewa kereta besar untuk membawa barangan dari Johor ke Singapura. Apabila hari rehat saya akan menggunakan kenderaan itu sebagai Grab. Tetapi pekerjaan sebagai pemandu Grab hanya kekal empat bulan sebab terlalu penat," cerita Hady.

Namun, rajuk Hady tidak lama apabila dia diundang untuk membuat persembahan bersama band lamanya di Singapura tahun lalu.

"Mereka memberikan saya semangat untuk bangkit semula dan rasanya sudah tiba masa untuk saya menggunakan bakat yang ada sebaik mungkin.

"Jadi, saya rasa platform GV6 adalah ruang terbaik untuk saya menonjolkan kemampuan yang ada," jelasnya yang mengikuti perkembangan GV sejak musim kedua lagi.

Hady yang pernah menjuarai Singapore Idol pada 2007 antara 13 peserta GV6 tahun ini.

Penyanyi lagu Berserah itu bakal berentap dengan penyanyi handalan lain antaranya Sham Visa, Naqiu Boboy, Roy, Jatt Black Dog Bone dan kumpulan duo Kool.

Selain itu, GV6 turut dimeriahkan dengan kemunculan penyanyi wanita Wann, Mazleela, Feeza, Noorshila Amin, Nurfatima dan kumpulan One Nation Emcees.
#Singapura #Grab #Hady Mirza #GV6
;