Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Jangan Jadi Ular! Mana Ada Rasis, Memang Betul Dia Mualaf" - Noraniza Idris

Amri Hassan
08/12/2020 07:10 MYT
Bintang Gegar Vaganza 7 (GV7), Noraniza Idris nekad untuk mengajak pengarah drama popular Michael Ang untuk bersemuka selepas konsert akhir Ahad ini.

Jelas Noraniza atau lebih terkenal dengan panggilan Kak Ani, 52, dia mahu mendengar penjelasan daripada Michael secara profesional berbanding berbalas-balas komen di media sosial.

"Saya sudah meminta pengurusan saya Mind Order untuk berkenalan dengan Michael Ang dengan lebih dekat, siapa dia dan apa dia mahukan?

"Saya tak pernah kenali dia sebelum ini dan insya-Allah selepas GV saya memang merancang untuk bersemuka dengannya.

"Kalau ada tips bagus saya akan ambil dan akur," katanya kepada Gempak.

Dengan bersemuka, Kak Ani berharap untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku tanpa melibatkan undang-undang hingga menjadi hal yang lebih serius pada masa akan datang.

Tambah Kak Ani, dia berharap Michael mepunyai cadangan yang jelas untuk menyambung perjuangannya memartabatkan irama Malaysia dengan cara tersendiri.

"Kalau ada isu peribadi, tak suka dengan persembahan saya hingga rasa mata dan hati sakit je bila tengok atau merasakan saya tak layak masuk GV, saya harap dia pun faham tugas sesama penggiat industri.

"Saya pun nak tahu apa tips terbaik untuk mengangkat irama Malaysia yang selama ini saya bawa tanpa Noraniza Idris. Memang, saya nak bersemuka secara profesional," tegasnya.

Tindakan Kak Ani yang kesal dengan tindakan Michael ekoran keluhan keluarganya di Singapura dan Malaysia yang terkilan dengan buli siber yang diterima dari netizen terutamanya selepas kenyataan pengarah itu baru-baru ini.

"Saya masuk GV sudah bersedia dikecam dan dikritik. Apabila melibatkan keluarga sampai call menangis, rasa terlampau kasihan macam saya dibuli dan tak sampai hati, saya tak boleh.

"Michael itu ikon, mentor dan role model kepada pembaca dia. Kalau tak tunjukkan nilai-nilai murni, membuka peluang netizen untuk menghentam lagi, itu sangat tidak baik. Hentaman itu boleh buat orang mati bunuh diri!" tambah Kak Ani.

Mengulas mengenai perasaan Michael yang terguris dengan kata-kata peminat Kak Ani dan menyifatkannya seorang rasis, dakwa Kak Ani itu tidak berasas.

"Saya tak pernah sentuh elemen rasis, memang betul dia mualaf. Kalau dia ada perasaan kecil hati, apatah lagi orang lain yang dia hentam.

"Jangan jadi ular sangat selagi kita manusia! Pengaruh ada pada kita selagi hidup, apabila mati kita pergi bersama kain kafan. Ingat asas agama kita.

"Saya satu daripada sejuta yang dia kecam. Ingatlah berapa ramai hat yang sudah dia hancurkan, orang lain pun ada hati dan perasaan.

"Biarlah dia nak marah atau kecil hati, saya bercakap atas hak asasi manusia. Tak kisah nak kritik persembahan saya tetapi susunan ayat tu jaga sikit. Guna akal semasa menulis dan bercakap. Hargailah hasil kerja orang walaupun 0.5 peratus," katanya.

Kemelut antara Kak Ani dan Michael tercetus selepas ciapan di Twitter yang menyifatkan Kak Ani telah 'membunuh' lagu Hindustan menerusi persembahan lagu Chaiya Chaiya pada Ahad lalu.

Kak Ani menerusi Facebooknya Akar Kita Zapin memuatnaik posting mahu bersemuka dengan Michael.

Namun, ada antara peminat fanatik Kak Ani yang tampil mengkritik semula karya Michael dan menuduhnya menggunakan agama untuk populariti.
#Michael Ang #Noraniza Idris #GV7
;