Gegar Vaganza 7
Kritik Persembahan 'Chaiya-Chaiya', Michael Ang Tak Ada Masalah Jumpa Noraniza Idris!
Pengarah dan pengarah Michael Ang menjelaskan mengenai komennya terhadap persembahan Noraniza Idris di pentas Separuh Akhir Gegar Vaganza (GV), 7, Ahad lalu.
Michael berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk bertemu Noraniza namun tetap akan memberikan komen serupa.
“Sejujurnya saya tidak ada masalah untuk berjumpa, kalau jumpa pun saya akan tetap beri komen yang sama.
“Kalau dia (Noraniza) tanya adakah saya tidak menyukai beliau kerana komen baru-baru ini…Saya akan jawab memang dia nyanyi tak sedap lagu Hindustan tu.
“Bila tak sedap saya cakap je lah tak sedap. Jadi saya tak faham kat mana yang saya mencalarkan maruah dia?” katanya ketika dihubungi.
Tambah Michael lagi, dia hanya menulis komen mengikut apa yang didengar dan ini bukanlah kali pertama berkongsi pendapat mengenai persembahan bintang GV7 di laman sosial Twitter.
“Sebelum ini pun saya ada komen mengenai persembahan dia. Kenapa bila saya puji tidak pula dibaca?
“Actually komen tu sama saja macam pendapat saya kepada bintang lain sebagai peminat GV. Bukan GV je yang saya komen Big Stage, AF dan lain-lain program realiti pun saya komen juga,” katanya.
Dalam pada itu Michael turut mengulas mengenai komen yang mendakwanya memeluk Islam kerana mahukan populariti.
“Tak baik cakap begitu. Saya dah peluk Islam lama sebelum satu Malaysia tahu mengenainya. Kalau saya nak popular masa saya mengucap dua kalimah syahadah dulu tu saya dah video kan dan buat sidang media.
“Biar satu dunia tahu saya masuk Islam. Itu merupakan tuduhan, tetapi tak apalah saya dah maafkan pun. Lagipun kita tak tahu siapa yang tulis.
“Entah-entah bukan Noraniza pun tapi pihak lain yang nak melaga-lagakan kami,” katanya yang sangat meminati lagu Dikir Puteri itu.
Apapun kata Michael, sesiapaun jika menyertai program realiti seharusnya bersedia dengan kritikan dan pendapat orang lain iaitu netizen.
“Saya pun orang kutuk juga. Kata drama saya drama sampah tapi saya terima je tak pernah pun ajak jumpa.
“Bagi saya hasil kerja seseorang artis memang akan menjadi perhatian netizen dan mereka berhak memberikan pandangan.
“Positif atau negatif, terima sahajalah,” katanya.
Michael turut memuat naik penjelasannya mengenai isu ini di laman sosial Instagram dan telah ditonton 75 ribu kali setakat artikel ini ditulis.