Gegar Vaganza 7
“Saya Telah Dimotivasikan Untuk Tidak Melihat Apa-Apa Kecaman & Komen Negatif!” – Norazniza Idris
Ratu Irama Malaysia Noraniza Idris, mengakui sudah memikirkan tentang kecaman dan komen keterlaluan warganet yang bakal diterima sepanjang menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).
Noraniza berkata, dia sudah bersedia untuk menerima kecaman dan kritikan tetapi hanya daripada juri profesional, tambahan lagi pihak pengurusannya Mind Order sudah berpesan agar tidak membaca komen-komen negatif.
“Saya telah dimotivasikan oleh Mind Order untuk tidak melihat apa-apa kecaman dan komen negatif kerana ia akan mengganggu tumpuan dan emosi.
Advertisement
“Mereka kata sebaik sahaja kehadiran saya dalam GV7 diumumkan pasti ada yang akan mengungkit kisah lalu dan menulis komen bukan-bukan.
“Saya hanya akan dengar pada komen dan kritikan juri profesional sahaja kerana mereka yang lebih tahu dan saya sudah bersedia,” katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai penyertaannya dalam GV7, Noraniza mengakui bukan mudah membuat keputusan.
Bagaimanapun selepas mendapat restu daripada suami dan sokongan daripada pihak Mind Order hatinya mula terbuka.
“Mind Order datang ke pejabat pada 1 September dan memberitahu tentang lamaran dari pihak GV. Bagusnya mereka ini kerana memotivasikan saya untuk membuka minda luas-luas, pandang impak selepas Gegar Vaganza.
“Saya hanya kata ‘ya’ kepada mereka sehari sebelum sesi fotografi GV7 dijalankan itu pun selepas meminta izin suami dan dia melakukan solat sunat sebelum beri jawapan kepada Mind Order.
Dia juga ada bertanya kepada Mind Order tentang beberapa soalan dan dijawab dengan baik oleh mereka…Barulah dia jawab, “saya setuju untuk isteri saya sertai GV”, katanya.
Tambah Noraniza lagi dia juga sudah bersedia untuk melalui cabaran dalam GV7.
“Sebab kita pun pernah masuk pertandingan, tahu tekanan dia macam mana, teruk. Takut juga dengan agihan tugasan mingguan nanti.
“Kalau lagu genre kita sendiri tak apa, tapi GV semua orang tahu tugasan mingguan lagu berbeza-beza, pelik-pelik.
“Sedangkan saya ini seorang yang taksub dengan irama Malaysia, ibaratnya orang panggil show suruh nyanyi lagu pop saya pulangkan balik duit.
“Saya letakkan begini, GV bukan satu pertandingan tetapi satu persembahan. GV juga saya anggap sebagai platfom untuk menarik balik minat generasi baru terhadap irama Malaysia kerana saya memandang impak selepas GV,” katanya.
Rangkaian program GV7 akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (124) dan Astro Ria HD (104) serta turut boleh diakses menerusi portal Gempak dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’.
Untuk lima episod pertama, ‘Kapsul Gegar Vaganza’ akan disiarkan pada hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.30 petang bermula 5 Oktober 2020. Manakala siaran ulangan pula adalah pada jam 11.30 malam.
Konsert mingguan ‘GV7’ pula akan bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 11 Oktober 2020.
Untuk pengisian di platform digital, program ‘Gegar Vaganza Live Plus’ akan disiarkan secara serentak di www.gempak.com/gegarvaganza ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV7’ bermula 11 Oktober 2020.
Teruskan menonton GV7 yang dibawakan sekali lagi oleh Farm Fresh selaku Penaja Utama, disokong Adabi dan CUCKOO Healthy Home sebagai Penaja Bersama selain Digi selaku Telco Rasmi.
Must-Watch Video