Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

GV9: Tomok Pecah Rekod Markah Kreativiti Persembahan Paling Tinggi, Ramli MS Dedah Puncanya; “Saya Tak Pernah Bagi Markah Setinggi Itu…”

Shahrin Zulkifle
24/10/2022 14:00 MYT
Ketua juri program Gegar Vaganza 9 (GV9), Datuk Ramli MS mendedahkan bahawa dia telah memberikan peratusan markah kreativiti persembahan yang tinggi kepada Tomok iaitu sebanyak 17%.

Jelas Ramli, markah sedemikian diberikan kepada Tomok selepas mengambil kira setiap elemen yang diletakkan dan digunakan penyanyi itu dalam persembahannya pada konsert minggu keenam GV9.

Malah, peratusan tersebut juga merupakan jumlah tertinggi yang pernah diberikan Ramli sepanjang enam minggu pertandingan itu bersiaran.

“Saya bagi 17% markah daripada keseluruhan 20% markah penuh untuk kreativiti persembahan pada Tomok. Dia ada melakukan koreograf yang banyak, saya tahu dia juga perlu mengambil masa yang lama untuk berlatih, malah dijemput penari sendiri.

“Susunan muzik pun dia yang hantar sendiri pada pengarah muzik, kemudian dia rearrange dan mencantikkan lagi susunan muzik lagunya itu.

“Dengan kesan make-up yang digunakannya lagi, usaha dia itu yang melayakkan dan logik untuk dia dapat 17%. Saya tak pernah bagi markah setinggi itu sebelum ini, itulah paling tinggi pernah saya bagi setakat untuk musim ini,” katanya.

Ramli ditemui pada sesi sidang media usai konsert minggu keenam GV9 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad.

Terdahulu, Tomok telah diumumkan menduduki tempat pertama apabila mendapat markah tertinggi iaitu 84% menerusi lagu Everybody nyanyian asal kumpulan Backstreet Boys sekaligus melayakkannya menerima anugerah Bintang Memukau Adabi dan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM 1,000 serta barangan Adabi bernilai RM500.

#Konsert #Tomok #Gegar Vaganza #Ramli MS #GegarVaganza #GV9
;