Rating GV9 Naik Mencanak, Ramai Rayu Kak Lina Kekal Jadi Hos! Ini Pula Jawapan Wakil Astro
Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna, Norzeha Mohd Salleh, akui berpuas hati melihat prestasi hos program Gegar Vaganza 9 (GV9) iaitu Elly Mazlien yang berjaya menghiburkan penonton selama 11 minggu bersiaran.
Bagaimanapun kata Norzeha, masih awal untuk mendedahkan sama ada Elly atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom untuk berada dalam edisi GV yang seterusnya atau tidak.
“Kami pasukan produksi dan team GV sangat berpuas hati dengan prestasi yang diberikan oleh Kak Lina. Namun untuk menjawab sama ada Kak Lina akan bersama dalam GV seterusnya terlalu awal untuk dikongsikan.
“Segalanya boleh berlaku, sekiranya masih mahukan dia bersama GV mungkin akan ada perubahan lain daripada segi hos pula. Mungkin Akan ada gandingan baru atau sebagainya, terlalu awal untuk bercakap mengenai itu.
“Selepas ini pihak produksi dan seluruh team GV akan buat post mortem, daripada situ kami akan kaji balik dan bedah siasat semula untuk semua sudut termasuk lah hos, konten, juri dan banyak lagi. Kemudian selepas itu, barulah kami buat keputusan apa yang akan dilakukan untuk GV 10,” ujarnya kepada Gempak.
Norzeha ditemui dalam satu sidang media usai konsert akhir GV9 yang berlangsung dari Auditorium MBSA, Ahad lalu.
Dalam masa sama, Norzeha turut mengakui gandingan Kak Lina dan Nabil mengemudikan GV9 menjadi penyumbang kepada rating program berkenaan selain barisan bintang dan juri yang terlibat.
“Jika boleh dikongsikan, rating GV9 kali ini naik yang pertama sekali adalah disebabkan barisan bintang yang join. Daripada awal sudah menarik minat jutaan penonton untuk menyaksikan GV9 setiap minggu.
“Yang kedua tidak dinafikan gandingan Kak Lina dan Nabil, mereka memang bagi all out. Penonton sentiasa terhibur dengan gelagat mereka.
“Yang ketiga tidak dilupakan barisan juri yang ada, di mana saya lihat mereka sama ‘naik’ dengan Kak Lina, saling memberi juga.
“Hiburan yang ada dalam GV9 itu sendiri buatkan program ini kekal nombor satu di Malaysia,” tambahnya.