All Stars Gegar Vaganza: “Tak Boleh Tipu, Ada Rasa Bersalah…” - Azharina Hiba, Menangis Bukan Sebab Sentap Dengan Juri
Mya Amri
09/10/2023 01:57 MYT
09/10/2023 01:57 MYT
Bintang All Stars Gegar Vaganza (GV10) Azharina Azhar tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata ketika diminta mengulas mengenai persembahannya di konsert minggu ketiga.
Menurut Azharina, dia menangis bukan disebabkan oleh komen juri sebaliknya kerana rasa bersalah terhadap empat orang guru yang sudah bertungkus lumus mengajar lagu keroncong kepadanya.
“Saya tidak boleh menipu… Memang ada perasaan bersalah jadi saya menghubungi guru-guru yang mengajar dan saya menangis.
“Sebab saya hiba, saya rasa saya tidak mampu untuk membahagiakan mereka. Saya minta maaf kerana kekhilafan saya, tidak dapat memberikan yang terbaik.
“Itu yang saya sedihkan, yang lain tidak. Saya menitiskan air mata memohon maaf pada cikgu-cikgu saya.
“Kerana pada saya, kita sebagai anak murid harus menghormati orang yang terdahulu sebelum kita. Maafkan saya…
“Saya tidak pernah mengambil berat dan mengambil pusing soal komen sebab komen itu datang dan pergi. Tetapi kesilapan anda pada guru anda itu sememangnya di atas. Saya minta maaf pada guru-guru saya,” katanya sambil menangis teresak-esak.
Azharina berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert All Stars Gegar Vaganza minggu ketiga bertempat di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Dalam pada itu, Azharina juga menegaskan dia tidak mengambil hati terhadap komen juri dan menganggap itu adalah sebahagian daripada tugas mereka yang profesional.
“Jujur, sebenarnya saya tidak terasa hati dengan komen komen juri kerana mereka ditugaskan, dibayar untuk mencari kesilapan dan menegur kekurangan saya.
“Saya bersyukur dan berterima kasih. Tadi kalau lihat saya minta maaf dengan Tok Ram dan saya juga menelefon guru-guru saya untuk minta maaf.
“Itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang anak seni mempelajari dan menerima kekurangan untuk memberikan yang terbaik.
“Syukur, guru-guru juga semua cakap saya sudah berikan yang terbaik, mungkin hari ini kedengarannya begitu, jadi kita menerima, cuma perbaiki lagi kekurangan yang ada di dalam diri dan persembahan,” jelasnya.
Terdahulu, Azharina telah mempelajari lagu keroncong bersama dengan empat orang guru sebagai inisiatif untuk memberikan persembahan terbaik minggu ini.
Dua orang guru tersebut adalah Datuk Azizul Khamis dan Cikgu Shafi. Manakala dua lagi nama dirahsiakan sebagai tanda menghormati permintaan mereka utnuk tidak mendedahkan identiti.
Namun keadaan sedikit tegang apabila juri memberikan sedikit komen agak pedas untuk Azharina yang membawakan lagu berjudul Sayang Di Sayang.
All Stars Gegar Vaganza dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Elly Mazlein.
Manakala juri tetap pula adalah Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
All Stars Gegar Vaganza bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
All Stars Gegar Vaganza juga ditayangkan secara live di sooka menerusi pelan langganan mudah alih Sports & Entertainment serendah RM1.15 sehari, tanpa kontrak.
Sementara klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan kapsul ‘Kapsul Gegar Vaganza’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam.
ASTRO BAHARU. TAK MACAM DULU.
Alami pengalaman Astro Baharu dan strim #AllStarGegarVaganza #GegarVaganza10 tanpa gangguan hujan dengan Astro Ultra Box.