“Dulu Ada Majalah Mangga, Cerita Gosip Tak Sebut Nama” - Noryn Aziz
Mya Amri
15/09/2023 07:55 MYT
15/09/2023 07:55 MYT
Bintang All Stars Gegar Vaganza (GV10) Noryn Aziz memberikan pendapatnya tentang perbezaan isu kontroversi pada masa dulu dan juga kini.
Menurut Noryn, kontroversi pada zaman kini secara dasarnya lebih tertumpu untuk mensensasikan sesuatu perkara dengan tujuan viral.
“Kalau zaman sekarang ini memanglah nak kontroversi, nak viral itu ini. Kalau dulu kita hanya ada majalah majalah sahaja sebagai contoh Mangga dan URTV.
“Seronok untuk dibaca dan kadang-kadang di majalah atau surat khabar juga adalah cerita cerita gosip tapi tidak sebut nama pun.
“Sebagai contoh A bercinta dengan B, B sudah cemburu, begitu sahaja hintnya. Tak ada sebut nama pun tapi zaman sekarang terang-terang kita dah tahu,” katanya kepada Gempak.
Noryn berkata demikian ketika ditemui pada sesi fotografi All Stars Gegar Vaganza sebelum ini.
Bagaimanapun kata Noryn, penggunaan media sosial memainkan peranan penting terhadap impak sesuatu isu sama ada yang direka atau pun tidak.
“Ada dua kesan sama ada positif atau negatif. Pertama kita boleh mencerahkan apa-apa yang ada di dalam kegelapan.
“Jadi kita tidak adalah menimbulkan fitnah daripada cerita-cerita yang tidak benar.
“Tapi ada juga kalau sengaja direka, pada saya jangan sampai mengaibkan diri sendiri, keluarga dan orang lain.
“Memanglah sekarang ini itu caranya, kadang-kadang cerita tak ada kena mengena pun dengan lagu.
“Tapi itulah cara marketing sekarang dan kita faham cuma macam yang saya katakan tadi jangan sampai mengaibkan orang lain, diri sendiri dan keluarga. Hati-hati,” pesannya.
Noryn bersama sembilan juara akan berentap kembali di pentas GV pada 24 September ini.
Selain Noryn, All Stars Gegar Vaganza menampilkan Ayai Ilusi (GV1), Siti Nordiana (GV2), Azharina (GV3), Aishah (GV4), Naqiu serta Hady Mirza (GV6), Cliff Umar (GV7), Aliff Aziz (GV8) dan Jaclyn Victor (GV9).
All Stars Gegar Vaganza akan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, setiap Ahad, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.